ZAMANI, JAMAL dan AMENG bakal gegar Ipoh April ini

Tiga penyanyi bersuara emas, Datuk Jamal Abdillah, Zamani dan Ameng bakal kembali bersatu atas pentas yang sama menerusi Konsert 3 Suara pada 6 April depan bermula 8.30 malam.

Konsert anjuran Binjamal Event Sdn Bhd ini adalah konsert kedua yang menampilkan tiga ‘otai’ ini. Sebelum ini Konsert 3 Suara telah berlangsung di Istana Budaya, Kuala Lumpur dua tahun lalu.

Menarik kali ini, konsert berskala mega yang akan mendapat sentuhan pengarah muzik, Raja Mohd Sham itu bakal diadakan di Stadium Indera Mulia, Ipoh, Perak.

Menurut Jamal selaku Pengarah Urusan Binjamal Events Sdn Bhd, beliau amat gembira dapat sekali lagi dapat gabungkan Ameng, Zamani dan dirinya sendiri untuk Konsert 3 Suara buat kali kedua.

“Saya rasa amat besar hati dan terharu kerana kerajaan negeri Perak telah memberi sokongan sepenuhnya untuk menjayakan konsert ini.

“Selain konsert, sebuah karnival turut dianjurkan bermula 8 pagi hingga 8 malam diperkarangan luar stadium Indera Mulia,” ujar Jamal.

Manakala Ameng meluahkan rasa terharu dan gembira dapat sekali lagi beraksi bersama Jamal dan Zamani menerusi Konsert 3 Suara.

“Dapat terlibat dalam konsert ini adalah satu penghormatan buat diri saya. Terima kasih atas ingatan dan peluang ini.

“Ia juga adalah satu pencapaian yang pasti akan saya ingat sehingga akhir hayat,” kata Ameng.

Sementara itu, Zamani pula berharap peminat tidak melepaskan peluang konsert ini kerana harga tiket yang sangat berpatutan.

“Konsert kali ini berbeza daripada di Istana Budaya kerana hanya berlangsung satu malam sahaja. Lokasi juga diubah dan akan diadakan di Stadium Indera Mulia, Ipoh, Perak.

“Harga tiket konsert ini sangat munasabah dan berpatutan. Harap peminat diluar sana tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan kami beraksi di pentas yang sama,” cerita Zamani.

Selain persembahan tiga legenda itu, Konsert 3 Suara turut akan diserikan dengan persembahan undangan daripada anak sulung Jamal, Osama Yamani dan kumpulan Radiowave.

Tiket Konsert 3 Suara yang akan berlandung di Stadium Indera Mulia, Ipoh, Perak pada 6 April 2019 ini dijual bermula 13 Januari 2019 pada harga RM83, RM103, RM133 dan RM183 menerusi laman web www.ilassotickets.com

Untuk maklumat lanjut tentang Konsert 3 Suara, boleh hubungi talian di 03-21706333.

Ruang komen
Tajul Ariffin
News Reporter
error: Content is protected !!