YAZMIN AZIZ muncul dengan single pertama LIHATLAH

Pemenang tempat ketiga Bakat Ohsem Malaysia 2017 (BOM) anjuran hurr.tv, Yazmin Aziz tampil dengan single pertamanya bergenrekan R&B-Pop Balada berjudul Lihatlah ciptaan Vince Chong bersama Yazmin Aziz dengan lirik oleh Yazmin Aziz dan M. Zulkifli.

Pemilik nama penuh Yazmin Aldwin Abdul Aziz ini berusia 17 tahun dan sedang melanjutkan pelajaran di tingkatan lima di Sekolah Menengah Sri Hartamas Kuala Lumpur.

Muncul naib juara pertandingan Maybank Talent pada tahun 2012 membuka lembaran baharu kepada penyanyi kacukan Malaysia-Filipina ini. Pada April 2017, beliau telah merangkul pingat emas bagi kategori junior di pertandingan Malaysian Championship of Performing Arts.

Mewakili Malaysia di World Championship of Performing Arts di California pada tahun sama, beliau muncul pemenang pingat perak bagi kategori junior mengalahkan ratusan peserta lain dari seluruh dunia.

Turut menguasai bahasa Tagalog, Yazmin mewakili Malaysia di Global Pinoy Singing Idol di Filipina pada Februari 2018 dan muncul antara 6 peserta terbaik di pertandingan berkenaan.

Kerjasama dengan Vince Chong dan M. Zulkifli bermula sejak Mac 2018. Vince Chong seperti yang dikenali adalah juara bagi sebuah pertandingan realiti pada tahun 2003. Beberapa buah albumnya mendapat sentuhan sendiri dengan beliau menjadi komposer bagi lagu-lagu hit antaranya Percayalah Sayang, Mengapa Harus Cinta, Janji-Janji dan Hanya Kau. Manakala penulis lirik M. Zulkifli menyumbangkan khidmatnya bagi lagu-lagu popular seperti Ku Milikmu nyanyian Dato’ Seri Siti Nurhaliza, Igauan Semalam nyanyian Fauziah Latiff dan Ku Teruskan nyanyian Liza Hanim. Pembikinan lagu ‘Lihatlah’ dilakukan pada 19 Julai 2018.

Lagu ‘Lihatlah’ adalah coretan kisah kehidupan Yazmin yang dilaluinya semasa membesar. Perjalanan hidupnya yang sukar menginjak ke alam dewasa bukanlah satu penghalang untuk beliau mencapai apa yang diinginkan.

‘Lihatlah’ membawa pendengar untuk melihat dan memahami semangat Yazmin yang kekal tabah sekaligus berjaya membuktikan dirinya mampu bangun menjadi seorang yang lebih cekal dan kuat untuk menempuh kehidupan.

Lagu ini mendapat kerjasama edaran digital oleh Warner Music Malaysia yang telah dimuatnaik ke beberapa platform digital seperti iTunes, Apple Music, Spotify, Joox, KKBox, Yonder Music, Deezer dan Akazoo. Manakala video muzik ‘Lihatlah’ boleh ditonton di laman YouTube Warner Music Malaysia pada 5 Oktober 2018.

“Lagu Lihatlah amat kuat dari segi liriknya. Melodi yang bergenrekan R&B-Pop Balada sebegini juga jarang diperkenalkan di Malaysia. Jadi, kami mengambil peluang ini untuk memperdengarkannya kepada peminat muzik tempatan. Kekuatan vokal Yazmin Aziz juga tidak perlu dipertikaikan. Beliau nyata memberi satu nafas segar dan baharu menerusi lagu ini sekaligus menunjukkan kebolehannya sebagai pelapis kepada penyanyi-penyanyi unggul di Malaysia,” kata Pengarah Saluran hurr.tv, Datin Elaine Daly.

Lagu ini juga boleh didapati sebagai panggilan nada dering menerusi semua syarikat telekomunikasi tempatan iaitu Celcom, Maxis, DiGi dan UMobile. Ikuti perkembangan terkini Yazmin Aziz di laman media sosial Instagram https://www.instagram.com/yazmin.aziz/ dan Facebook https://www.facebook.com/aziz.yazmin.

 

Jom tonton muzik video rasmi Lihatlah oleh Yazmin Aziz

 

URTV
News Reporter
error: Content is protected !!