‘Yang Satu’ hadiah Akim untuk Stacy

Kumpulan Akim & The Majistret kini muncul dengan single baharu berjudul ‘Yang Satu’ merancakkan lagi industri muzik tanah air.

Lagu yang membawa genre pop balada ini merupakan hasil ciptaan Akim Ahmad dan Zimi yang masing- masing menggunakan nama pena, Hang Nadim dan Laq. Manakala lirik pula dikarang sepenuhnya oleh Hang Nadim.

Yang Satu diberikan gubahan muzik yang dinamik, bermula dengan petikan keyboard minimalis dan kemudiannya disusuli pula dengan iringan muzik yang disuntik elemen ‘New Wave Reggae’.

Berbekalkan melodi mesra telinga, alunan lunak merdu vokal Akim, senikata yang mengangkat tema cinta dan gubahan muzik tersendiri, Yang Satu menjanjikan sajian muzik segar namun masih tetap mengekalkan ‘signature sound’ ATM.

Menurut Akim Ahmad yang juga vokalis kumpulan Akim & The Majistret, single terbaharu ini berentak balada berbeza dengan single sebelum ini.

“Untuk single kali ini, kami bersepakat untuk meletakkan unsur yang lebih ‘mellow’ dan berentak balada. Kami kira, inilah yang dinantikan pendengar-pendengar kami. Lagipun sudah agak lama rentak sebegini kami tidak perdengarkan kepada mereka.

“Lagu ini mengisahkan tentang seseorang yang mendambakan kasih sayang yang ikhlas dari kekasihnya. Bagi dirinya, hanya pasangannya sahaja yang memahami segala tentang dirinya,” kata Akim.

Tambah Akim, lagu Yang Satu adalah hadiah istimewa untuk isterinya, Stacy dan sebab itu dia memilih untuk melancarkan lagu itu pada ulang tahun kelahiran isterinya pada 18 Ogos lalu.

“Kalau dalam kes saya, saya menyanyikan untuk isteri sayalah. Dialah ‘Yang Satu’ dalam hidup saya. Sebab itu, saya rasakan ia lebih manis lagi bila lagu ini dilancarkan pada hari ulang tahun kelahiran isteri saya.

“Inilah hadiah yang paling bermakna yang saya berikan buat isteri tercinta. Dan saya harap dapatlah isteri saya mengamati setiap baris ayat dalam lagu ini,” jelas Akim.

Yang Satu merupakan single terbitan secara usahasama Rhythm & Rhyme Entertainment, syarikat rakaman milik Akim dan isterinya, penyanyi terkenal Stacy dan Nova Music Malaysia yang turut bertindak sebagai pengedar.

Single Yang Satu boleh didapati di kesemua pelantar muzik digital seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBox, Deezer dan juga iTunes bermula 18 Ogos 2019.

Ruang komen

Please enter banners and links.

URTV
News Reporter
error: Content is protected !!