WHAM bersama YKAT rai, hulur sumbangan kepada anak yatim dan artis veteran

Sempena kedatangan bulan Ramadan kali ini, Persatuan Wartawan Dan Penulis Hiburan (WHAM) dan Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT) meraikan artis-artis veteran dan anak-anak yatim pada satu majlis berbuka puasa pada malam Sabtu.

Menurut Presiden WHAM, Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin, program yang diadakan buat pertama kali oleh WHAM bersama YKAT ini diadakan untuk mendekatkan diri wartawan hiburan dengan masyarakat dan artis selain meraikan mereka.

“Zaman sekarang wartawan hiburan bukan hanya menulis berita hiburan tapi mampu melakukan banyak kerja dalam masa yang sama.

“Program kemasyarakatan ini secara tidak langsung mendekatkan diri wartawan dengan masyarakat dan juga merapatkan lagi hubungan bersama artis,” katanya.

Selain meraikan mereka dengan menjamu hidangan berbuka puasa, WHAM dan YKAT turut memberi sumbangan kepada rumah anak yatim dan rakan artis bagi membantu meringankan beban mereka.

WHAM menyampaikan sumbangan kepada empat rumah kebajikan iaitu Rumah Ngaji Barokah, Rumah Asnaf Temerloh, Rumah Anak Yatim Cahaya Kasih Bestari Kuala Lumpur dan Rumah Anak Yatim Sungai Kantan, Kajang.

Manakala YKAT memberi sumbangan kepada artis veteran iaitu Dian P. Ramlee, Halimah Alias, Ayati Ahmad Tasrip, Norliah Shamsudin, Lan Zailan, Maheswara A/L Palanisamy, Rohaiyah Mohd Amin, Subramani A/L Ellapan dan Raja Puria A/L Angamuthu.

Selain itu, YKAT juga turut memberi sumbangan kepada keluarga pemain bes iaitu Wan Kelly yang meninggal dunia baru-baru ini yang diwakili anaknya, Wan Adam Nuqman.

Majlis dihadiri oleh artis, pengarah dan penerbit seperti Datuk M.Nasir, Datuk Nash, Datuk Dj Dave, Adira, Datin Mas Anizan, Shima, Shunaimi Lua, Haji Zil, Yana Samsudin serta suaminya, Fadzil Zahari dan ramai lagi.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Media House Entertainment (MHE), Datuk Seri Zaienal Abidin Omar.

Majlis dimeriahkan dengan persembahan istimewa oleh seperti Nabila Razali, Azharina dan E1 band.

Ruang komen

Please enter banners and links.

Tajul Ariffin
News Reporter
error: Content is protected !!