UPIN & IPIN : KERIS SIAMANG TUNGGAL raih RM25 juta kutipan dalam masa tiga minggu

Setelah 21 hari tayangan, filem animasi Upin & Ipin : Keris Siamang Tunggal telah berjaya meraih kutipan sebanyak RM25 juta dengan jumlah penonton mencecah dua juta orang sejak ditayangkan pada 21 Mac 2019.

Filem animasi kedua terbitan Les’ Copaque Production Sdn Bhd itu juga telah mencatat rekod sebagai filem animasi yang mendapat kutipan tertinggi di pawagam tempatan mengalahkan rekod kutipan tertinggi terdahulu filem animasi antarabangsa iaitu Incredibles 2.

Masih ditayangkan di pawagam, filem Upin & Ipin Keris Siamang Tunggal mengisahkan kembar comel Upin dan Ipin bersama-sama kawan-kawan mereka Ehsan, Fizi, Mail, Jarjit, Mei Mei, dan Susanti dalam usaha mereka menyelamatkan kerajaan fantasi Inderaloka dari kekejaman Raja Bersiong.

Semuanya bermula apabila Upin, Ipin dan kawan-kawan terjumpa sebilah keris misteri yang membawa mereka memasuki kerajaan tersebut.

Ketika mencari jalan pulang, mereka dibebani dengan tanggungjawab untuk mengembalikan kegemilangan kerajaan itu seperti sediakala.

Dengan bantuan Mat Jenin dan Belalang, Upin, Ipin, dan kawan-kawan perlu melalui pelbagai dugaan dan cabaran dalam filem pengembaraan aksi penuh magis dan lucu.

Ruang komen

Please enter banners and links.

URTV
News Reporter
error: Content is protected !!