Ubah kerjaya, JANNA NICK nak jadi askar?

Dengarnya pelakon popular Janna Nick sudah mahu tukar kerjaya daripada seorang pelakon menjadi seorang tentera.

Memang betul! Janna telah pun membuat permohonan untuk menyertai Angkatan Tentera Malaysia tetapi itu hanya sekadar tuntutan watak di dalam drama terbaharu terbitan JS Pictures Sdn. Bhd iaitu ​Leftenan Zana​ yang bakal bersiaran hari ini, ​8 Februari​ 2019.

Drama arahan Azman Hj. Yahaya ini mengisahkan mengenai impian Zana (Janna Nick) yang bercita-cita mahu menjadi anggota tentera tetapi cita-citanya itu tidak direstui bapanya. Zana adalah anak perempuan bongsu Mejar (B) Rahmat (Hairie Othman). Sejak kecil, Zana sangat rapat dan manja dengan bapanya sehinggakan dia ingin menjadi seorang askar seperti Rahmat. 

Malangnya, Rahmat tidak suka dan tidak akan membenarkan Zana untuk menyertai bidang ketenteraan. Rahmat lebih mengharapkan Zaidi, anak lelaki sulungnya untuk menyambung legasinya tetapi Zaidi tidak berminat.

Walaupun dihalang, Zana tekad untuk meneruskan cita-citanya dan dalam diam telah membuat permohonan secara online untuk menjadi anggota tentera Angkatan Tentera Malaysia (ATM). 

Zana telah terpilih untuk menjalani ujian saringan dan akhirnya berjaya diterima sebagai pelatih ATM dan perlu menjalani latihan di Melaka. 

Pada mulanya, Zana berbohong mengatakan bahawa dia diterima bekerja di sebuah syarikat swasta. Namun, di saat akhir Zana berterus terang kepada Rahmat dan ibunya, Mah.

Walaupun marah, Rahmat tetap menghantar Zana ke kem untuk latihan. Rahmat pasti Zana tidak akan bertahan lama di sana. Ujian Zana bermula dan ternyata apa yang dikatakan oleh bapanya tentang kepayahan di kem, semuanya benar.

Selain Sarjan Qamar (Sheila Rusly) yang menggerunkan, Zana tertekan dengan pelbagai latihan yang memenatkan fizikal dan mental. Di kem juga Zana turut dibuli oleh Raz (Tunku Hanis) yang membencinya.

Sehinggalah suatu hari, Zana tekad membuat keputusan untuk melarikan diri daripada kem.

Adakah Zana akan terus berputus asa dan akhirnya mengaku kalah pada bapanya? 

Ikuti perjalanan Zana dalam mengharungi cabaran untuk bergelar seorang anggota tentera yang dilakonkan oleh ​Janna Nick, Sheila Rusly, Redza Rosli, Tunku Hanis, Hairie Othman dan ramai lagi ini dalam drama bersiri Leftenan Zana yang mula bersiaran hari ini, 8 Februari 2019 setiap hari ​Rabu hingga Jumaat, jam 9.00 malam​ di TV3.

Ruang komen
URTV
News Reporter
error: Content is protected !!