Travelog Jejak Lagu Rakyat Malaysia, Indonesia dan Brunei Bersama AINUL AISHAH di TV1

Ala Canggung, Anak Ayam, Anak Itik Tok Wi, Can Mali Can dan Ayam Den Lapeh. Sekadar menyebut beberapa tajuk lagu rakyat masyarakat Melayu yang popular sehingga kini. Realitinya lagu-lagu rakyat adalah warisan bangsa yang perlu dipertahankan. Ini kerana lagu-lagu rakyat bukan sekadar menghibur tetapi ianya banyak mengandungi unsur-unsur didikan secara tidak langsung. Ini jelas dapat dilihat dalam seni kata lagu-lagunya. Pada masa sama koleksi lagu-lagu rakyat ini melambangkan kekayaan pemikiran dan seni budaya bangsa Melayu.

Justeru Radio Televisyen Malaysia (RTM) cuba mencuri tumpuan orang ramai terutama dalam kalangan remaja dengan menyiarkan travelog terbaharu berkaitan tentang informasi serta alunan lagu rakyat berdasarkan kepada negeri-negeri di Malaysia dengan tajuk “Senandung Rakyat” mulai 28 Oktober lalu, setiap Ahad, pukul 11.00 malam di TV1.

Bersama-sama hos Ainul Aishah, program 13 episod ini akan bertemu dengan seseorang yang arif tentang lagu rakyat negeri dipilih dan berkongsi maklumat. Wawancara akan dilakukan oleh pengacara untuk mendapat maklumat lanjut serta berkongsi pengalaman sepanjang penglibatan individu tersebut di dalam bidang seni. Beberapa buah lagu juga akan didendangkan untuk dikongsi dengan penonton serta bertemu dengan pemain lagu rakyat yang lain serta persembahan oleh sesebuah kumpulan kesenian yang berkaitan dengan lagu rakyat negeri yang terpilih.

Bermula dengan mengunjungi negeri Perak bertemu dengan Tokoh Lagu Rakyat Perak iaitu Mohd Yusof Najmi Bin Othman yang dikenali sebagai ‘Abah’. Beliau berkongsi pengalaman sepanjang penglibatannya dalam seni lagu rakyat semenjak zaman beliau bersekolah lagi dan beliau juga mendapat beberapa anugerah pihak kerajaan negeri semasa penglibatan beliau. Abah menyampaikan 2 buah lagu iaitu ‘Belotah’ dan ‘Tak Serentang’. Kemudian Ainul berjumpa dengan seorang penyanyi lagu rakyat Perak iaitu A Raman Aminudin@Farouk dan artis jemputan Illya membawa Ainul untuk melihat persembahan Kumpulan Sutera Melayu.

menemubual Kumpulan Balle Balle

Ainul kemudiannya berkunjung ke Kuala Semantan, Pahang untuk berkongsi maklumat tentang lagu rakyat negeri Pahang bertemu dengan seorang penyanyi lagu Pahang yang masih lagi bergiat aktif iaitu En. Noor Azman atau lebih dikenali sebagai Man Kayan. Ainul kemudiannya mewawancara Mohd Fauzi Abdullah yang merupakan seorang tokoh pengkaji lagu rakyat. Beliau berkongsi maklumat tentang peranan serta kaitan lagu rakyat terhadap masyarakat yang merangkumi pelbagai aspek. Ia diakhiri dengan nyanyian Seloka Pak Kaduk, Dendang Seloka dan Lemak Manis oleh Mohd Fauzi.

Di Melaka pula bertemu dengan En. Ariffin Uzir, seorang penggiat aktif Nazam Melaka, juara pertandingan Nazam Kebangsaan 2012. Ariffin juga berkongsi pengalaman beliau sepanjang dirinya terlibat dengan persembahan Nazam semenjak 20 tahun yang lepas. Ainul kemudiannya mewawancara Tokoh Nazam Melaka iaitu Haji Ab Rani Embi yang bercerita tentang sejarah kewujudan Nazam di Melaka yang pada asalnya dibawa masuk oleh pedagang-pedagang Arab. Ariffin bersama kumpulan Rentak Mutiara mempersembahkan Nazam Hati Mutiara untuk tontonan penonton rancangan.

pemuzik di Terengganu

Tidak kurang menariknya di Kuala Selangor, Selangor berkongsi maklumat tentang lagu rakyat negeri Selangor bertemu dengan Isnain Abd Rahim@Wak Nin yang sudah lama berkecimpung dalam seni lagu rakyat dan merupakan ketua kumpulan Balle Balle. Beliau juga berkongsi pengertian di sebalik keunikan pakaian warna-warni Balle Balle yang melambangkan cita rasa Malaysia. Selepas itu, Ainul menemu ramah pula seorang Tokoh Karyawan Adat & Budaya Selangor iaitu Dr. Ibrahim Ghaffar yang berkongsi maklumat tentang lagu rakyat. Persembahan kumpulan Balle Balle menerusi lagu Joget Kuala Selangor dan Mambo Balle Balle mengakhiri rancangan episod di Selangor.

Ainul berkunjung ke Kuala Pilah, Negeri Sembilan untuk berkongsi maklumat tentang lagu rakyat Negeri Sembilan. Berlokasi di persekitaran Istana Seri Menanti, Ainul bertemu dengan seorang penggiat lagu rakyat Negeri Sembilan iaitu En. Mohamad Abdullah. Beliau merupakan seorang pengamal Bongai yang menyanyi sambil bermain rebana. Ainul kemudiannya bertemu dengan Tokoh Teromba, Dato Paduka Dr. Mohd Rosli Saludin yang sudi berkongsi maklumat seperti definisi Teromba serta sejarahnya. Destinasi Ainul yang seterusnya ialah ke Batu Kikir untuk bertemu dengan seorang lagi tokoh Bongai iaitu Pak Lang.

Lagu rakyat negeri Terengganu merupakan pilihan episod seterusnya. Di Muzium Negeri Terengganu bertemu dengan seorang pengamal lagu rodat Terengganu iaitu Syahira Nur Azmina. Temu bual dilakukan bersama Nizam Mohd Yusoff dari Kumpulan Alamanda yang merupakan penggiat lagu rakyat dan juga Syahira berkaitan dengan sejarah pembabitan beliau sebagai pengamal lagu rodat. Rancangan diakhiri dengan nyanyian dari Nabiha dan kumpulan Alamanda menerusi lagu ‘Jong Jong Inai’ dan ‘Ya Bani Ya Badang’.

Hos Ainul Aishah menemubual tetamu

Singgah di Kota Kinabalu, Sabah menyaksikan persembahan lagu berjudul Baliung oleh seorang penggiat lagu rakyat iaitu En. Jasni Yakub. Baliung merupakan lagu yang berentak puisi rakyat. Ainul bertemu dengan Masruh Siadik yang merupakan seorang insan seni daripada etnik Bajau. En. Jasni Matlani turut membicarakan tentang lagu rakyat Sabah adalah berdasarkan kepada etnik/kaum tertentu. Rancangan diakhiri dengan persembahan lagu Seliu dan Sayang Kinabalu daripada Nurfazz.

Menarik dikongsikan lagu rakyat daripada etnik Iban di lokasi Miri, Sarawak bertemu dengan penggiat lagu rakyat etnik Iban iaitu En. Unsa Anak Meringai yang lebih dikenali sebagai Akik Unsa. Ainul juga menemu ramah seorang lagi tokoh lagu rakyat iaitu En. Jaya Anak Ramba yang berkongsi tentang perkembangan lagu rakyat Iban yang masih dimainkan dalam upacara-upacara adat dan Pesta Gawai di Sarawak.

Istimewa episod seterusnya mengetahui lagu-lagu rakyat negara jiran iaitu di Bandar Seri Begawan, Brunei Darussalam dan beberapa bandar besar di Indonesia termasuklah di Kota Dumai; Riau, Pekan Baru, Langkat; Sumatra, dan Bandar Medan. Ikuti perkongsian tentang perkembangan semasa lagu rakyat di sana untuk dikongsikan dengan masyarakat negara kita.

URTV
News Reporter
error: Content is protected !!