TIKET SHOWCASE ADA ANGIN & HATI SOLD OUT, MAFIDZ SYUKUR ATAS SOKONGAN

Sempena pelancaran album sulung, kumpulan Mafidz telah mengadakan showcase istimewa mengguna judul yang sama dengan album mereka iaitu Ada Angin & Hati di Angkasa Space, Cheras pada Sabtu lalu.

Kumpulan Kolar Hijau dan Margasatwa telah membuka tirai persembahan sebelum Mafidz tampil menghiburkan para hadirin dengan menyanyikan kesemua lapan lagu dari album mereka.

Mafidz turut memberi kejutan kepada para hadirin dengan mempersembahkan lagu baru bertajuk ‘Senandung’, hasil ciptaan mereka yang dinyanyikan secara duet bersama penyanyi dan penulis lagu, Otam.

‘Senandung’ mengisahkan tentang sikap seseorang yang bersangka baik dalam menghadapi cabaran dan dugaan dunia.

Menurut vokalis sekaligus pemain gitar akustik Mafidz, Megat Fazly, Mafidz terharu atas sokongan yang diberikan pada showcase pertama mereka.

“Kami tak sangka tiket sold out dan sangat bersyukur ramai yang datang ke showcase pertama kami ini. Bukan hanya anak muda tetapi seluruh kalangan masyarakat dari muda hingga tua.

“Terima kasih kepada semua pihak termasuk media yang telah mendukung kami dan menjayakan showcase ini. Kami berusaha untuk tetap tulus dalam berkarya dan berharap muzik Mafidz akan terus diterima baik,” kata Megat Fazly mewakili teman-teman dalam Mafidz.

Bercerita tentang album Ada Angin & Hati,  Megat Fazley memberitahu album tersebut disiapkan dalam tempoh hanya empat bulan dan mengandungi lapan buah lagu.

“Sejak album ‘Ada Angin & Hati’ diterbitkan pada September 2018, album ini telah mendapat sambutan positif dari pendengar dan pengkritik muzik luar serta tanah air.

“Dengan berkonsepkan kehidupan dan sifat manusia, album ini membicarakan banyak hal antaranya tentang perasaan dan tindakan setiap insan.

“Selain itu, penggunaaan bahasa yang bersahaja dalam senikata lagu-lagu Mafidz bertujuan supaya mesej dalam lagu mudah difahami oleh semua lapisan masyarakat.

“Banyak hal yang terjadi sepanjang proses pembikinan album pertama ini. Dengan masa dan equipment yang terhad, kami cuba untuk melahirkan karya yang berkualiti tinggi hasil sepenuhnya dari home studio kami sendiri. 

“Untungnya, kami tinggal serumah dan ini memudahkan kami untuk meluangkan masa bekerja bersama-sama,” kata Megat Hafidz selaku vokalis kumpulan Mafidz.

Membawa genre ‘Folk-Pop’ serta gabungan unsur-unsur muzik Nusantara, Mafidz mempunyai keinginan untuk memberi warna ke dalam industri muzik tempatan. 

“Dengan kehadiran Mafidz, kami berharap muzik akan sentiasa menjadi salah satu cara untuk kita membawa pemikiran ke arah yang positif dan sedar bahawa seni dapat menyatukan,” kata Megat Aizzat.

Bagi yang beminat untuk mendapatkan album ‘Ada Angin & Hati’ yang berharga dijual pasa harga RM28.00, anda boleh membuat pesanan dengan menghubungi pihak pengurusan Mafidz melalui aplikasi Whatsapp di +6012 683 7672. 

Ruang komen
URTV
News Reporter
error: Content is protected !!