“Tidak semua orang ada duit untuk uruskan kematian kita” – DATUK DJ DAVE

Insiden sedih seorang anak mengadu padanya tidak mempunyai duit untuk urusan pengebumian ayahnya hampir 10 tahun lalu masih kekal dalam minda Datuk DJ Dave.

Saat itu, kematian seorang anak seni yang cukup popular dalam negara kita. Kematian itu disambut dengan kesedihan yang mencengkam ke jiwa anak-anak yang masih kecil dan isteri yang ditinggalkan cukup bersedih hati.

Tetapi yang lebih menyedihkan lagi apabila keluarga tidak tahu dari mana mereka boleh mendapatkan wang bagi menguruskan kematian si ayah. Jenazah si ayah sudah pun kaku beberapa jam, tetapi mereka langsung tidak ada wang untuk menguruskan pengkebumiannya.

“Insiden itu membuatkan saya terfikir, sebuah yayasan bagi menjaga kebajikan artis perlu diwujudkan supaya ada pihak yang boleh membantu menyelesaikan masalah-masalah sebegini.

“Tidak semua orang ada duit untuk uruskan kematian kita. Insiden itu banyak mengajar saya supaya berusaha menyedarkan kalangan artis agar menyimpan dan buat persediaan sebelum kita meninggal dunia,” beritahu Dave yang juga Pengerusi Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT).

Serius memikirkan tentang hal itu, selepas menubuhkan YKAT, beliau kemudian bersama dengan rakan-rakan menjadikan program Khairat Kematian YKAT antara agenda penting yayasan.

Bagaimanapun sehingga kini ia belum diterima dengan begitu meluas di kalangan rakan artis yang menjadi sasaran utama program tersebut ditubuhkan.

Justeru, nekad terus mempromosikan program yang bersandarkan kepada fardu kifayah itu, pada Jumaat depan, 7 Disember, satu majlis penjenamaan semula akan diadakan.

Program Penjenamaan Semula Khairat Kematian YKAT akan diadakan pada 7 Disember, pukul 2 petang bertempat di Tune Hotel, Kuala Lumpur.

YKAT menjemput seluruh warga seni dijemput datang untuk mendengar sendiri taklimat khas yang bakal dibuat dengan kerjasama Darul Jenazah itu.

Di majlis itu nanti, karyawan seni akan mendapat peluang keemasan apabila  dengan hanya membayar yuran tahunan hanya RM100 setahun, mereka mampu mendapatkan pelbagai faedah khairat kematian.

Antaranya bantuan pengkebumian RM1,500, upah Badal Haji, wang khairat RM3,000 kepada pewaris,  RM10,000 kepada pewaris (jika meninggal kerana kemalangan), pencen keilatan sehingga RM10,000 (jika cacat separa)  dan keseluruhan paker yang bernilai RM6,000.

“Kematian dan setiap manusia tidak akan terpisah. Kita tidak tahu bila kita akan mati. Jadi, kita boleh bersedia supaya kematian kita nanti dalam keadaan di mana ahli keluarga tidak bermasalah untuk mendapatkan wang bagi menguruskan jenazah kita.

“Saya mengharapkan sokongan semua penyanyi, pelakon, pemuzik, dan semua anak-anak seni untuk hadir dan mendengar sesi taklimat yang amat bermakna ini,” kata Dave lagi.

Semua penyanyi, pelakon, pemuzik, penarik dan semua anak seni dari pelbagai medium dijemput hadir. Untuk keterangan lanjut boleh menghubungi talian 019-9883172 (Samiyah).

Tajul Ariffin
News Reporter
error: Content is protected !!