Terbit filem HERO “Kalau bukan sekarang, bila lagi” – DARLING

Pelakon yang kini aktif penerbit, Darling atau nama sebenarnya Nasreen Ngasri akui dia berdebar menerbitkan sebuah filem buat pertama kali menerusi syarikat NS Star Sdn Bhd dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Sudah selesai proses penggambaran, filem berjudul Hero yang diambil daripada jenama drama bersiri Hero terbitannya merupakan percubaan pertama beliau muncul dengan naskah layar perak.

Kata Darling, “15 tahun menerbitkan drama, saya rasa inilah masa untuk saya menerbitkan filem. Kalau bukan sekarang bila lagi kan.

“Saya rasa pengalaman dan ilmu yang saya perolehi sejak tahun 2003 sudah cukup untuk meyakinkan saya menerbitkan sebuah naskah yang lebih besar.

“Tidak dinafikan perasaan risau itu ada, tapi saya menjadi bersemangat untuk menerbitkan filem ini selepas melihat penerimaan penonton terhadap filem tempatan yang semakin baik sejak kebelakangan ini.

“Filem ini dihasilkan sebagai salah satu platform untuk masyarakat menghayati pengorbanan anggota bomba yang sentiasa memberi komitmen dalam tugas memadam api serta menyelamatkan mangsa tanpa mengira kepentingan peribadi.

“Jika sebelum ini kita hanya mampu melihat bomba dari jauh, tetapi melalui filem ini penonton akan merasa lebih dekat dengan mereka,” kata Darling.

Tambahnya, walaupun filem Hero mengangkat tema dan jenama yang sama dengan drama bersiri Hero, jalan cerita, pelakon dan genre adalah berbeza.

“Untuk versi filem jalan ceritanya adalah berbeza dan tidak mempunyai kesinambungan langsung dengan drama Hero. Kami juga tampilkan pelakon-pelakon berbeza kerana ingin tonjolkan kelainan filem ini berbanding drama.

“Genre drama dan filem juga berbeza. Filem Hero akan mengetengahkan genre aksi dan komedi. Selain itu kami juga menyelit sedikit unsur dakwah dalam filem ini.

“Jalan cerita yang membawa tema positif tentang keberanian, kesetiaan, setia kawan, bangkit semula dan semangat nasionalisme, mampu memberi kesan positif dan nilai-nilai murni kepada penonton.

“Apa yang pasti adalah filem ini akan dapat ditonton oleh seisi keluarga dan mereka pasti akan rasa seronok selepas menonton filem Hero nanti.

“Perjalanan penggambaran sangat baik dan saya ingin berterima kasih kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia terutamanya cawangan Hang Tuah yang banyak memberi kerjasama dan bantuan dalam penghasilan filem ini,” ujar Darling.

Filem Hero yang diarahkan oleh Azizi Adnan mengisahkan tentang tiga anggota bomba iaitu Zaf, Amad dan Adam yang bersahabat baik dalam merungkai konspirasi sebuah sindeket yang telah merancang dan membakar beberapa bangunan Tahfiz yang dibina di atas tanah bernilai tinggi atas tujuan jahat.

Dibintangi oleh Hisham Hamid, Bell Ngasri, Mark Adam, Elisya Sandha, Tash Yong, Syafiq Farhain, Riz Amin, Shaharuddin Thamby, Amai Kamarudin, Tauke Jambu, Datuk Jalaluddin Hassan, Jesse Lim dan ramai lagi, filem Hero bakal menemui penonton pada tahun hadapan.

Tajul Ariffin
News Reporter
error: Content is protected !!