Tak sangka NASHA AZIZ  begitu…. – ROZITA ROHAIZAD

PENYANYI Rozita Rohaizad sebak mengenangkan sikap model dan aktres popular Nasha Aziz terhadapnya.

“Kami kenal dah lama. Dia tu, rakan kepada adik saya ( Allahyarham  Iskandar Mierza) yang meninggal dunia pada 8 Jun 2016.

“Baru-baru ini berjumpa semula apabila sama-sama di undang menjayakan program Raikan Cinta  di  sini (Balai Seni Lukis, Kuala Lumpur). Saya  terlibat acara pagi,  menyanyi dan menjayakan acara zapin zumba.

“Yang buat saya terkejut  apabila terperasan  kelibat yang  datang melutut dan tunduk  sambil mengikatkan tali kasut saya   ialah  Nasha Aziz!

“Waktu tu saya sedang berdiri di  atas pentas untuk memberitahu peserta ikut step zumba  yang seterusnya . Saya pun tak perasan tali kasut dah terurai. Nasha prihatin membantu saya.

“Saya ajak  Nasha, ikut bersama-sama di pentas, tapi Nasha kata, tak apalah. Biar dia dengan   penonton di depan pentas sahaja yang datang berzumba. Tengoklah video ni, “ katanya berkongsi dengan URTV Online,  aksi-aksi Nasha dirakamkan oleh kawan baiknya.

“Sikap merendah diri membantu saya,  buat saya rasa sebak sangat. Walaupun,  bernama besar Nasha   humble orangnya.  Ketika adik saya meninggal dunia, dia datang ziarah, ikut sampai ke kubur,” cerita Rozita  waktu kami bertemu ketika beliau hadir menyaksikan pertunjukan fesyen pengantin di lobi utama  Balai Seni Lukis di sebelah petang hari itu.

“Saya ada beritahu Nasha , pada masa akan datang, ingin lagi bekerjasama dengannya, dalam program lain pula.  Kami jumpa semula,  seminggu sebelum acara zumba dan fesyen untuk meeting.

“Nasha masih seramah dan mesra dulu. Kesibukan masing-masing buat kami jarang jumpa. Saya ni kerap juga di undang menyanyi di luar negara,” katanya lagi.

Sikap mesra Nasha terhadap artis lebih senior wajar dicontohi artis baru lain.  Jangan fikir sudah  popular nak  berlagak sombong. Malah Nasha juga dilihat tidak berlagak dengan model-model baru ketika bekerjasama di belakang dan atas pentas catwalk.

Selesai acara pertunjukan fesyen, Rozita mengakui, terbuka hati nak kahwin lagi bila  menonton peragaan baju pengantin.

“Tengok koleksi  kahwin diperagakan saya, pun ikut terasa nak kahwin lagi. Saya harap akan datang ini  dapat tengok Nasha lagi di pentas,  macam tak puas” tambah Rozita  janda yang masih single. Rozita ialah anak seniwati Allahyarham Mariani Ismail (kakak seniwati  Allahyarham Puan Sri Saloma).

“Saya  terpukau bukan saja dengan baju-baju kahwin yang diperagakan Azhar Zainal dan designer lain tetapi juga kemunculan Nasha Aziz. Pengalaman berpuluh tahunnya di pentas catwalk menyaksikan aksi-aksinya memperagakan pakaian itu, dengan cara tersendiri.

“Tak terkejutlah,  ramai penonton beri tepukan gemuruh,” ujar Rozita yang mengaku turut `jatuh cinta’ dan gaun pengantin ciptaan Dwen Raha.,  digayakan Nasha Aziz.

LELAKI SEBELAH

PETANG itu, kelihatan Rozita Rohaizad datang menyaksikan pertunjukan fesyen ditemani seseorang.

“Jangan salah faham …dia ini  bos restoran  Opocot  yang popular dengan menu Asam Pedas  di Melaka. Dia seorang komposer dan penyanyi. Dia telah menciptakan beberapa buah lagu baru untuk saya. Antaranya Joget Malam Pertama,  Zapin Rinduan Kasih,  Malaysia Ku Sayang  dan Malaysia You Will Shine Forever,” katanya memperkenalkan Kensolo Indrapatih.

“Insya Allah album ini dalam proses persiapan. Saya berkenan nak mengajak rakan wartawan hiburan ke restoran saya untuk majlis pelancarannya nanti,” kata  Kensolo.

Rozita Rohaizad   berbesar hati  nak mengadakan sidang akhbar albumnya di negeri bersejarah itu.

JANGAN LUPA LAGU MELAYU

“TUJUAN nak merakamkan lagu baru dengan  irama zapin tentulah nak terus mengangkat lagu tradisional Melayu kita.

“Sejak tahun 2015 lagi, apabila saya di undang  menyanyi di luar negara saya memastikan selain irama pop, jazz atau balada, saya menyanyikan lagu  tradisional Melayu.

“Salah satu yang saya minat irama zapin, sebab itu bila diajak menjayakan program zumba saya perkenalkan zapin zumba,” tambahnya yang berharap anak-anak muda sekarang  tidak lupakan lagu Melayu.

“Kita boleh suka lagu barat tapi jangan lupa lagu Melayu,” katanya.

Bapa saudaranya, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee suatu waktu dulu ketika hayatnya, pernah mengingatkan warga seni dan peminat jangan sampai lagu kita terbiar dan lagu barat mengambil tempat,  di negara ini.

 

Ruang komen
Huzz
News Reporter