Tak rugi syarikat korporat taja program artis

Foto: Zulfaiz Zakaria &Naim Jeffry

“RAMAI syarikat korporat patut tahu dengan menaja sebarang acara program berkaitan seni dan budaya membantu industri hiburan negara ini,  mereka layak mendapat pemotongan cukai tahunan.

“Contohnya tajaan berjumlah RM200,000…maka potongan cukainya pun akan sebanyak itu..

“Seperti syarikat penerbangan Air Asia yang turut menjadi penaja K0nsert Orkestra Tradisional Malaysia dengan Datuk Seri Siti Nurhaliza  pada Julai sempena Festival  Balik Pulau, Pulau Pinang mendapat sokongan kami untuk pemotongan cukai.

“Semua syarikat korporat berhak mendapat pemotongan cukai sehingga RM700,000 melalui kerjasama dalam penajaan,” kata Timbalan Menteri  Pelancongan, Seni dan Budaya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik kepada URTV.

Itu antara galakan agar sokongan korporat tak ketinggalan untuk bersama-sama menjayakan program seni dan budaya di negara ini.

Beliau ditemui sewaktu  hadir ke Malam Dikau Penghiburku  di Restoran Rebung Taman Botani, Kuala Lumpur  malam 10 September.

“Hasil kejayaan dan kutipan daripada konsert sempena festival di Balik Pulau tempoh hari, alhamdulillah dapat diberikan semula kepada golongan artis juga.

“Pihak Datuk Seri Siti Nurhaliza juga turut memberikan sebahagian daripada bayaran persembahannya itu untuk  sumbangan majlis malam ini,” tambahnya.

Seniman seperti Datuk M. Daud Kilau, Datuk Nassier Wahab, komposer 0oi Eow Jin, pemuzik Yazid Search, Andre Goh, Hail Amir, Uji Rashid, Shima , Mak Jah, Aspalela Abdullah, Ebby Yus, Imuda, Mimi Loma antara 18 artis yang menerima sumbangan sebanyak RM5,000 setiap seorang.

Difahamkan Muhammad Bakhtiar mencetuskan idea agar program konsert itu menerusi kementeriannya mendapat pulangan berbaloi bagi membantu warga hiburan yang berdepan masalah kesihatan dan hari tua melalui sumbangan tersebut.

“Insya Allah akan ada lagi acara seumpama ini untuk artis yang lain pula,”ujar Muhammad Bakhtiar lagi.

Selain yang diraikan, barisan artis-artis seperti  Rohana Jalil, Ramlah Ram, Azizul Khamis, Den Wahab, Aziz M. Osman, Zuhairi Ibrahim, Rozita Rohaizad, Arja Lee hadir untuk bersama-sama memeriahkan majlis yang julung kali diadakan itu.

“Sementara itu, satu inisiatif baharu oleh  kerajaan sekarang ialah untuk memastikan kebajikan golongan  artis melalui perluasan dan perlindungan yang sedang diteliti oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia ( Motac) dengan  pihak Pertubuhan  Keselamatan Sosial ( Perkeso) menawarkan  faedah keselamatan  sosial bagi hampir 250 jenis pekerjaan dalam industri seni dan budaya negara ini.

“Hal ini  sedang diperhalusi sebelum pelaksanaan penuh dalam  memartabatkan lagi profesi golongan  penggiat seni dan budaya,” tambah Muhammad Bakhtiar lagi.

Tentunya berita baik ini disambut mesra oleh para penggiat seni tanah air.

Selain itu, diharap artis-artis tanah air juga akan merasai sumber rezeki melalui penglibatan sebarang program seni dan budaya usaha kementerian berkaitan seni dan budaya.

Dalam masa sama kementerian lain yang mengawal stesen penyiaran juga diharapkan URTV memberi laluan artis terdahulu dan sekarang memberi bersama-sama mencari rezeki dalam menjayakan rancangan hiburan.

Janganlah balik-balik muka yang sama dan artis yang muda-muda sahaja diutamakan dengan alasan mendapat rating tertinggi.

Mereka yang masih mampu menyanyi dan berlakon memerlukan tawaran kerja untuk meneruskan kehidupan.

PUISI

ISTIMEWANYA pada malam tersebut,  Muhammad Bakthiar turut melakarkan puisi dan menyampaikannya  di depan artis yang diraikan. Katanya, kebanyakan mereka  diminati sejak zaman persekolahan.

Dikau Penghiburku

 Waktu kecilku tidak pernah sunyi
Sentiasa tersenyum sentiasa ketawa
Tawaku dicipta oleh para insan seni
Yang sentiasa berseri yang sentiasa bergaya lawa

Cantiknya Mimi Loma dalam Ahmad Albab
kadang-kadang terlupa siapa watak utama,
Siapa tak nak menjadi Mat Sentul, alat ajaibnya menggamit imaginasiku
Di malam hari lenggok Aspalela membuai lena di pangkuan ibuku

 Zaman remaja ku mula ranggi
Bereksperimentasi dengan jati diri
Kadang-kadang keliru, patutkah aku bergelek dengan Cik Mek Molek,
atau terus bermain perasaan dengan si Juria atau sang Mas Merah
Mungkinkah Rinduku Semakin Mendalam
Bila datang jiwangku, Pepatung Cinta menemani malam-malamku
Walaupun jantungku berdetak seperti dihentak-hentak oleh bro ku Yazit

Dewasaku mula mengenal cinta
Sesekali ku rasa teringin melewati hati gadis bernama Shima yang katanya dingin
Sentiasa menaruh harapan cintaku berbalas oleh si dia yang berbaju kembang

 Andainya kedukaanku bertambah,
Budin dan kadang-kadang, Sam si pereka fesyen sentiasa menemaniku
Sering kali hatiku digeletek oleh selambanya Ebby, kalutnya Mak Jah
Walau kadang kala takut dijerkah garangnya Wan Maimunah

 Di kala usia menganjak emas, harapan ku hanya dua,
terus kreatif membimbing seperti Ooi Eow Jin dan
kekal muda seperti kandaku Nassier Wahab, terus segak dan bergaya.

 Aku percaya, walau tiba masa bumi terbelah dua
Bintang-bintang ini akan terus disebut namanya
Kerana sesungguhnya kau penyeri hidupku
Kerana Dikau Penghiburku

Ruang komen

Please enter banners and links.

Huzz
News Reporter
error: Content is protected !!