“Tak kisah apa orang nak kata…saya tetap akan menyanyi” – Arja Lee

Pelakon dan penyanyi Arja Lee akui dia tidak kisah dengan kecaman segelintir pihak yang memintanya untuk berhenti menyanyi.

Menurut Arja, kata-kata negatif itu langsung tidak melemahkan semangatnya malah membuatkan dirinya ingin berusaha lebih keras untuk menjadi yang terbaik.

“Saya tak kisah apa orang nak kata. Saya tetap akan menyanyi. Ini adalah impian saya. Selain lakonan, nyanyian adalah cabang seni yang sangat saya cintai.

“Buat mereka yang meminta saya berhenti menyanyi, kata-kata anda itu langsung tidak mematahkan semangat saya. Malah saya rasa ingin lebih berusaha kerana saya percaya masih ramai yang yakin dengan kebolehan yang saya ada.

“Saya ambil perkara itu secara positif untuk membina semangat dan keyakinan dalam mengharungi cabaran sebagai seorang penyanyi baru dalam industri ini.

“Sememangnya, saya perlu bekerja dua kali ganda lebih banyak untuk menempah nama dalam industri ini. Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada keluarga dan rakan-rakan yang tak putus-putus memberi sokongan dan percaya dengan bakat saya,” luah Arja yang juga sibuk dengan perniagaan biskut, Arja’s Cookies dan kerepek, Creps.

Setelah dua tahun menyepi tanpa lagu baharu, Arja bakal muncul dengan single baharu berjudul Berpulang duet bersama Rendy Faliq tidak lama lagi.

“Selama saya diam itu tidak bermakna saya sudah mengalah untuk menyanyi lagi. Tapi saya kumpul ilmu dan pengalaman untuk muncul dengan sesuatu yang baru.

“Alhamdulillah, selepas dua tahun akhirnya saya bakal kembali dengan single baru tidak lama lagi. Saya harap kemunculan lagu Berpulang ini nanti akan memberikan nafas baharu untuk karier nyanyian saya.

Arja dan RendyFaliq

“Lagu ciptaan sepenuhnya Rendy Faliq ini mengisahkan tentang betapa seseorang itu terasa kehilangan manakala ‘Berpulang’ itu membawa maksud kepergian atau Ke Rahmatullah yang dipetik daripada kamus Indonesia.

“Harapan saya adalah agar lagu ini dapat diterima oleh semua golongan pendengar muzik tanah air tak kira umur. Nantikan ya!,” cerita Arja yang sebelum ini sudah mempunyai tiga single sebelum ini iaitu Cerita Pada Mereka (2014), Bintang Malam (2015), Budak Nakal (2017).

Selain bakal muncul dengan single Berpulang, lakonan Arja juga dapat disaksikan dalam drama bersiri Syurga Ku Tak Sempurna musim kedua (Unifi TV) dan juga teater P.Ramlee The Musical di Ipoh (Julai) tidak lama lagi.

Ruang komen

Please enter banners and links.

Tajul Ariffin
News Reporter
error: Content is protected !!