“Tak akan miskin seseorang itu jika dia menderma” – PAK NIL

Pengacara versatil, Datuk Aznil Haji Nawawi cukup terkenal dengan sikap yang suka membantu mereka yang dalam kesusahan dengan banyak terlibat dalam program-program kebajikan.

Aznil atau mesra dengan panggilan Pak Nil akui terharu dengan kepayahan yang dialami oleh salah seorang peserta program realiti terbaharu terbitan Astro, Mikrofon Impian yang beliau bertugas sebagai pengacara.

Peserta tersebut gagal memenangi program yang menawarkan pemenang hadiah wang untuk meringankan bebannya.

Namun, atas dasar keperimanusiaan dan tersentuh dengan niat peserta tersebut, Pak Nil telah menyumbangkan wangnya sendiri kepada peserta tersebut.

“Dia menyanyi bagus cuma peserta seorang lagi lebih baik. Sebab itu dia tidak berjaya. Dia hanya mahukan wang sebanyak RM5,000 untuk meringankan beban kehidupannya untuk membeli buku dan perubatan untuk datuknya.

“Apa yang diminta memang tak banyak dimata orang yang mampu. Tapi pada situasi dirinya yang amat memerlukan ia adalah satu nilai yang sangat tinggi.

“Saya tak boleh bayangkan jika saya berada di tempatnya dan perkara itu sangat menginsafkan. Sebab itu saya ambil keputusan untuk memberi sumbangan peribadi kepada peserta itu. Bagi saya tak akan miskin seseorang itu jika dia menderma,” cerita Pak Nil kepada URTV.

Program Mikrofon Impian yang dihoskan oleh Datuk Aznil Haji Nawawi ini menampilkan Fauziah Latiff, Azmi Saat dan Aliza Ali sebagai juri tetap serta seorang juri jemputan akan diundang menyertai program tersebut setiap minggu.

Jangan lupa saksikan Mikrofon Impian yang mula bersiaran pada 17 Januari ini setiap Ahad pada pukul 9.00 malam di Astro Ria (saluran 104) dan Ria HD (saluran 123).

Foto: Nooreeza Hashim

Ruang komen

Please enter banners and links.

Tajul Ariffin
News Reporter
error: Content is protected !!