“Tak ada yang taja tau”-AISHAH ATAN

“SAYA buka salun dan kafe ini dengan duit simpanan berlakon, (lebih 20 tahun) selama ini. Tak ada sesiapa yang taja atau berkongsi modal dengan saya,” pengakuan terus terang pelakon janda, anak tiga, Aishah Atan,  selepas  majlis pelancaran  Sha Cafe miliknya, pada 17 Mac baru-baru ini, di Jalan Medan Indah 4, Taman Bukit Indah, Ampang Selangor.

“Simpan sikit-sikit dan laburkan bila dah sampai masa. Salun ni,  dah lebih setahun saya usahakan. Baru-baru ini bila tengok kedai sebelah salun kosong, saya terus terfikir nak dijadikan kafe.

“Kedua-dua kedai ini untuk salun dan kafe ini saya bayar sewa setiap bulan lebih RM3,000.

“Di salun ini  selain gunting, warna, syampu dan segala perkhidmatan berkaitan rambut  harga yang dikenakan serendah RM20. Selain itu, saya  juga menyediakan rawatan bekam dan urut untuk perempuan.

“Bekam di sini, harga dikenakan tak mengikut cawan digunakan tetapi seluruh badan dan pelanggan dikenakan bayaran serendah RM30. Pendek kata, berbaloi.

“Manakala kafe saya ini   menyediakan makanan seperti masakan di rumah. Antaranya, menu soto. Kawan-kawan tahu saya handal menyediakan juadah ini.  Selain itu, ada juga ayam goreng berempah, masakan sendiri, tauhu sumbat, lempeng kelapa, ubi kayu, sambal ikan bilis, kuih bakar dan lain-lain. Minuman yang panas dan sejuk juga dijual,” ceritanya.

“Datanglah ke kafe dan salun, harga mesra pelanggan,” pesan Aishah

Berapakah modal dilaburkan untuk kedua-dua perniagaan ini?

“Adalah lebih kurang dalam RM50,000,” cerita Aishah waktu kami berdua berbual.

“Apa yang penting impian nak ada perniagaan sendiri sudahnya tercapai, syukur sangat. Terima kasihlah,  ramai kawan artis datang malam pelancaran ini bagi sokongan, ” tambahnya  yang mengaku terharu malam itu, ramai berkunjung ke majlis pelancaran kafenya.

Antara rakan artis yang datang ialah Anne Abdullah, Ako Mustapha dan isteri, Azura dan suami, Zack Kool, Aidil Aziz, Rashdan  dan lain-lain.

Bila dah sibuk berniaga, masih lagi nak jadi  pelakon?

“Tentulah, kalau ada tawaran, saya masih mahu aktif berlakon. Dan saya juga tak nak abaikan perniagaan. Kalau saya sibuk di lokasi, ada yang menjaga bisnes ini. Saya juga gajikan tenaga mahir di salun dan kafe,” tambah  Aishah yang sering bawa watak jahat dalam drama TV sebaliknya di luar lokasi, orangnya ramah dan suka bergurau.

Tahun ini Aishah semakin murah rezeki, di undang  menjayakan drama TV tempatan untuk stesen RTM dan TV3 untuk siaran bulan puasa. Drama seperti Seharum Mawar, Dekatkan Jarak Kita,  yang dijayakan  sebelum ini, mendapat  perhatian dan rating tinggi.

Kepada yang tinggal di kawasan persekitaran Ampang, janganlah lupa singgah ke Sha Kafe  atau ke salun Aishah  bila kelapangan.

Kepada Aishah  dua kali  gagal dalam perkahwinan, semoga terus sukses dalam lapangan lakonan dan perniagaan.

Sokongan kawan-kawan artis menambahkan semangat berniaga
Ruang komen

Please enter banners and links.

Huzz
News Reporter
error: Content is protected !!