Stacy papar dunia fantasi dan elemen tarian dalam muzik video rasmi ‘Khayal’

Penyanyi wanita popular tanah air, Stacy kini muncul dengan muzik video rasmi single terbaharu beliau berjudul Khayal dan boleh ditonton disaluran Youtube rasmi Nova Music Videos bermula hari ini.

Stacy atau nama sebenar Ummu Shaikhah Stacy Anam memberitahu muzik video terbaharu arahan Hasif Hamid ini menggambarkan dirinya berada dalam dunia fantasi.

“Secara ringkasnya, muzik video ini adalah bayangan imaginasi saya berada di dalam dunia fantasi. Idea asalnya datang dari hasil perbincangan bersama pengarah.

“Untuk video muzik Khayal, kami mengekalkan ‘look and feel’ yang digunakan untuk ‘cover art’ single ini. Penampilan saya dalam video muzik ini mendapat sentuhan magis jurusolek Datuk Alha Alfa dan penata gaya Yana Husin bagi menghasilkan ‘magical look’, yang menggabungkan unsur ‘Dark’ dan ‘Feminin’ dalam memaparkan ‘feel’ dan ‘character’ saya untuk lagu ini,” cerita Stacy.

Tambah Stacy, muzik video Khayal tidak menekankan kepada jalan cerita tetapi lebih kepada sajian visual yang menggambarkan jiwa dan rasa di sebalik muzik dan lirik lagu tersebut.

Selain itu, elemen tarian juga diberi penekanan dalam muzik video Khayal Berbeza dengan video muzik lagu-lagunya sebelum ini, kali ini Stacy lebih memberi penekanan kepada elemen tarian dalam muzik video Khayal ini.

“Untuk video muzik Khayal ini, saya lebih beri penekanan kepada elemen tarian. Sajian visual yang memaparkan elemen tarian boleh memberikan ‘mood’ kepada penonton di setiap ‘musical progression’ lagu Khayal.

“Lagu Khayal ini sendiri mempunyai dua jenis ‘feel’ dan ‘character’ yang berbeza iaitu ‘Dark’ dan ‘ Feminin’. Sayacuba sampaikan konsep gabungan unsur ini melalui visual tarian berdasarkan ‘mood’ lagu Khayal itu sendiri.

“Untuk mendapatkan gerak tari yang mampu menggambarkan gabungan dua unsur itu, saya menggunakan khidmat dua orang koreografer iaitu Wadi dan Faruq yang masing-masing mempunyai ‘signature style’ tersendiri,” jelas Stacy.

Bercerita tentang harapannya untuk muzik video Khayal, Stacy memberitahu dia berharap agar ia dapat menepati cita rasa dan jangkaan peminat.

“Stacy sendiri pun teruja untuk mempertontonkan muzik video Khayal kepada peminat. Walaupun pembikinan muzik video ini dibuat dalam waktu yang agak terhad tapi saya berpuas hati dengan hasilnya.

“Saya berterima kasih kepada semua pihak yang memberikan kerjasama yang baik dalam merealisasikan aspirasi saya seiring dengan konsep yang dipilih untuk muzik video Khayal ini.

“Saya tidak janjikan sesuatu yang luar biasa tapi muzik video Khayal tetap menawarkan sajian visual yang berbeza. Stacy berharap video muzik ini dapat menepati citarasa dan jangkaan peminat.

“Namun yang paling penting, Stacy berharap dengan menonton video muzik ini boleh buat peminat lagi faham ‘mood’ dan ‘feel’ sebenar lagu Khayal ini sekaligus membuatkan mereka jadi lebih suka dengan lagu Khayal,” kata Stacy.

Khayal merupakan single pertama terbitan Stacy sendiri menerusi syarikat Rhythm & Rhyme Entertainment (RnR) miliknya dan suami Akim Ahmad dengan kerjasama Nova Music Malaysia selaku rakan usahasama dan pengedar.

Khayal boleh didapati di semua pelantar muzik digital seperti Spotify, Apple Music, Joox, KK Box, Deezer dan iTunes bermula 12 Julai 2019.

Ruang komen

Please enter banners and links.

URTV
News Reporter
error: Content is protected !!