Showcase Ada Angin & Hati oleh MAFIDZ Sabtu ini

Kumpulan baru yang terkenal membawa genre ‘Folk-Pop’ serta gabungan unsur-unsur muzik Nusantara, Mafidz akan mengadakan showcase solo pertama pada Sabtu ini (23 Mac 2019) di Angkasa Space, 1-1 Dataran Dwitasik, Bandar Sri Permaisuri, Cheras, Kuala Lumpur pada pukul 8.00 malam.

Showcase anjuran Mafidz Music Management itu diadakan sebagai tanda terima kasih dan menghargai peminat yang telah mendukung kehadiran Mafidz di industri muzik tempatan serta kehadiran  album sulung mereka berjudul Ada Angin & Hati yang dilancarkan pada September tahun lalu.

Album tersebut diterbitkan dibawah label mereka sendiri, Impact Diversified Consultancy dan telah mendapat sambutan positif yang meluas dari pendengar dan pengkritik muzik luar serta tanah air.

Tiket ‘early-bird’ showcase Ada Angin & Hati telah pun habis dijual dan kini hanya tiket ‘regular’ berharga RM40 yang masih boleh dibeli.

Barangan rasmi Mafidz seperti ‘CD Album’ dan ‘T-Shirt’ akan turut dijual dengan harga promosi yang sangat berbaloi pada hari acara dilangsungkan.

Untuk mendapatkan tiket, orang ramai boleh menghubungi pihak pengurusan menggunakan aplikasi Whatsapp di +6011-2345 4169.

Mafidz (dari kiri) Megat Fazly, Megat Aizzat dan Megat Hafidz

Mafidz diketuai oleh tiga beradik yang berasal dari keluarga yang meminati seni iaitu Megat Hafidz (vokal), Megat Fazly (vokal & gitar akustik) & Megat Aizzat (vokal & perkusi) yang berperanan sebagai pencipta, penggubah dan penulis lirik dalam album sulung mereka.

Usaha mereka seolah meneruskan legasi bapa saudara mereka iaitu Almarhum Megat Ismail, seorang komposer lagu antara lainnya adalah lagu ‘Metropolitan – Fikirkan Boleh’, dan juga penulis lirik untuk lagu ‘Exists – Untukmu Ibu’. Mafidz membawakan lagu-lagu yang berunsur positif dan berjiwa rakyat serta menjadikan muzik sebagai kerjaya sepenuh masa.

Mempunyai keinginan untuk memberi warna ke dalam industri muzik tempatan, Mafidz bekerjasama dengan lima orang pemuzik profesional sebagai pemain tetap Mafidz yang menggunakan alat muzik seperti double bass, piano, gitar elektrik, perkusi dan cello.

Mafidz telah membuat persembahan antarabangsa mereka yang pertama di acara ‘International Indie Music Festival’ di Jakarta, Indonesia pada bulan Oktober 2018. Mereka menghiburkan para penonton yang hadir di acara tersebut dengan persembahan kesemua lapan buah lagu dari album ‘Ada Angin & Hati’ yang dicetak pada bulan September 2018.

Untuk mengetahui semua perkembangan terkini dan mengenali Mafidz dengan lebih lanjut, boleh terus melayari laman sosial mereka di Instagram (@mafidzofficial) dan Twitter (@mafidzofficial).

Ruang komen
URTV
News Reporter
error: Content is protected !!