Sharnaaz Ahmad dan Nelydia Senrose dalam drama bersiri Lelakimu Yang Dulu

Walaupun dilanda kemelut rumah tangga, perasaan cinta di hati Sharnaaz masih ada tetapi cinta yang tersisa ini hanyalah cinta di antara Hazrul dan Daliya, dalam drama terbaharu Lelakimu Yang Dulu bersama Nelydia Senrose di slot Akasia mulai 19 September ini.

Sekali lagi, drama 28 episod arahan Eoon Shuhaini terbitan Mache Allstar United Sdn. Bhd. ini menggandingkan Sharnaaz Ahmad dan Nelydia Senrose sebagai pelakon utama dan dibantu oleh barisan pelakon lain seperti  Redza Rosli, Ungku Hariz, Reen Rahim, Nadia Brian, Azizah Mahzan, Dato’ Jalaluddin Hassan dan Dian P. Ramlee.

Lelakimu Yang Dulu mengisahkan tentang konflik perkahwinan antara Hazrul (Sharnaaz Ahmad) dan Daliya (Nelydia Senrose) apabila mereka terpisah selepas Hazrul ditangkap di atas cubaan merogol.

Selepas Hazrul ditangkap, Daliya bertemu Hazrul dan ingin mendapatkan penjelasan terus dari suaminya itu. Namun, Hazrul masih mendiamkan diri.

Daliya cuba menuntut cerai tetapi Hazrul enggan berbuat demikian. Daliya mengambil keputusan untuk membawa diri. Beberapa bulan kemudian, Daliya masih buntu memikirkan masa depannya lebih-lebih lagi dia disahkan mengandung.

Namun, kandungannya itu dirahsiakan daripada Hazrul. Daliya ditemukan dengan Nazli, Zana, dan Ibu Maryam apabila Daliya pengsan selepas hampir dilanggar oleh kereta milik Nazli.

Kehidupan Daliya berubah selepas tinggal di rumah Ibu Maryam sekeluarga. Dia bekerja sebagai tukang jahit di kilang langsir Ibu Maryam.

Kehadiran Daliya disenangi, lebih-lebih lagi oleh Nazli apabila dia mula ada hati dengan Daliya. Berlainan pula dengan Zana, dia tidak suka pada Daliya dan cemburu dengan layanan baik keluarganya terhadap Daliya.

Selepas dua tahun, Hazrul dan Daliya ditemukan semula. Anak yang dirahsiakan itu akhirnya diketahui oleh Hazrul. Hazrul berusaha untuk memiliki anak mereka, Isyraf untuk membalas dendam pada Daliya.

Bagi Hazrul, Daliya adalah isteri yang tidak setia. Daliya meninggalkannya sewaktu dia kehilangan segalanya. Adakah rasa dendam akan terus mengatasi rasa cinta Hazrul buat Daliya? Dapatkah Daliya menerima Hazrul kembali?

Jangan lupa untuk saksikan kesudahan drama Lelakimu Yang Dulu yang diadaptasi daripada novel karya Farah Darianna terbitan Idea Kreatif ini, setiap hari Isnin hingga Jumaat, pukul 7.00 malam di TV3.

Ruang komen
URTV
News Reporter