Seniman jalin kerjasama dengan AADK

Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) secara rasmi telah pun menandatangani satu perjanjian persefahaman (MoU) bersama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) untuk memperkukuhkan lagi hubungan dua hala diantara kedua-dua pihak pada satu majlis di ibu pejabat AADK, Bangi pada Jumaat.

Menurut Setiausaha Agung Seniman, Hafiz Hanafiah, jalinan kerjasama antara Seniman dan AADK itu merangkumi pelbagai aspek seperti pemulihan, pencegahan, rawatan, penyebaran maklumat, berkongsi maklumat dan penyebaran kesedaran dikalangan masyarakat di negara ini.

“Sejak kebelakangan ini Seniman telah pun menjalankan pelbagai kerjasama dengan AADK melibatkan pelbagai aspek dan hari ini kami telah mencapai kata sepakat dalam beberapa siri mesyuarat dua hala untuk secara serius dan konsisten dalam menjalinkan kerjasama  melalui perjanjian MoU ini.

“Seniman juga komited dengan segala agenda yang telah dipersetujui untuk terus menjayakan isi kandungan perjanjian ini bagi membantu artis dan juga ahli Seniman yang terlibat dalam gejala dadah secara khususnya dan secara tidak langsung juga membantu rakyat Malaysia secara amnya melalui sebaran maklumat dan promosi,” kata Hafiz dalam kenyataan media rasmi Seniman.

Tambahnya, pihak AADK telah melantik selebriti yang merupakan ahli Seniman iaitu Black Hanifah, Tomok, Achey Bocey, Aiman Tino, Floor 88, Keena Mentor dan Izzmad Harun sebagai Ikon Anti Dadah Kebangsaan 2019/2020 bagi membantu masyarakat yang terjebak dengan gejala dadah.

“Dengan perlantikan ini mereka dapat memainkan peranan penting dalam menyeru masyarakat untuk menghindari diri daripada terjebak dengan masalah dadah, mereka juga mempunyai ramai pengikut di media sosial yang mampu menyebarkan maklumat penting kepada masyarakat.

“Seniman mengucapkan jutaan terima kasih atas kerjasama rasmi ini dan berharap agar kerjasama ini dapat direalisasikan dengan baik mengikut perancangan yang telah dirancang bagi mencapai matlamat perjanjian MoU ini.

“Seniman juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada kesemua ikon yang telah bersetuju untuk menjadi contoh terbaik dikalangan masyarakat di Malaysia,” ujar Hafiz mewakili Seniman.

Ruang komen

Please enter banners and links.

URTV
News Reporter
error: Content is protected !!