Selepas Hero Jangan Bikin Panas, Darling Ngasri tunggu lampu hijau untuk Allahyarham Adib

PRODUSER Hero Jangan Bikin Panas, Darling Ngasri berminat menerbitkan telefilem atau dokumentari  untuk anggota bomba, Allahyarham Adib Kassim.

“Kes Adib masih dalam perbicaraan. Kalau dah selesai nanti, kita berharap ada lampu hijau pihak keluarga dan jabatan untuk memberi laluan membuat dokumentari atau mungkin telefilem tentangnya dengan kerjaya bomba,” kata Darling juga seorang pelakon, merujuk soalan URTV tentang projek akan datangnya.

Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim yang bertugas di Balai Bomba Subang berasal dari Kuala Kedah, meninggal dunia di Institut Jantung Negara pada 17 Disember 2018, selepas mengalami kecederaan serius ketika bertugas di lokasi berlaku rusuhan  berhampiran Kuil Seafield, akhir tahun lalu.

Setakat ini seramai 30 orang saksi telah dipanggil untuk kes perbicaraan selama 41 hari bermula 11 Februari tahun ini. Mahkamah Koroner Shah Alam menyimpulkan inkues kematiannya selepas lima bulan pendengaran, lapor sebuah portal tempatan Julai baru-baru ini.

Dalam pada itu, Darling juga sedang sibuk untuk mempromosi filem terbaharu terbitan produksinya- NS Star Sdn Bhd  Hero Jangan Bikin  Panas yang akan masuk pawagam dalam waktu terdekat.

“Saya  bersyukur selepas  menerbitkan  drama bersiri bomba untuk TV2 lakonan Sharnaaz Ahmad dan ramai lagi, sebelum ini, hasrat nak  menghasilkan  filem  dunia bomba tercapai. Insyaa Allah masuk  pawagam pada 3 Oktober nanti.

Hero Jangan Bikin Panas  menampilkan barisan pelakon pelakon popular antaranya Hisyam Hamid, Shafiq Farhain, Bell Ngasri, Mark Adam,  Elisya Sandha, Datuk Jalalludin Hassan dan ramai lagi. Ada cerita cinta dan pengorbanan anggota bomba,” ceritanya.

“Selain itu, kami juga menerbitkan lagi drama bersiri  dunia bomba untuk musim kedua untuk TV2 dengan hero utama Redza Rosli.

“Mungkin ada yang bertanya, mengapa saya tertarik nak buat drama dan filem dunia bomba?  Semua maklum, kita kan dah ada drama dan filem polis. Malah ada juga filem filem untuk tentera oleh produksi tempatan lain.

“Bomba juga antara hero- hero negara yang tak boleh dilupakan. Besar jasa-jasa mereka dalam  membantu bukan sahaja  mangsa kebakaran tetapi masalah lain dalam masyarakat yang memerlukan khidmat pasukan.

“Filem ini sebagai penghargaan kami kepada jasa semua petugas bomba dari dulu sampai sekarang, yang tak terbalas,” katanya.

Pembikinan filem menelan belanja RM2 juta itu akan ditayangkan di seluruh Malaysia, Brunei dan Singapura bermula 3 Oktober 2019 ini.

Ruang komen

Please enter banners and links.

Huzz
News Reporter
error: Content is protected !!