Selepas 13 tahun solo, MAC RUHAYU bakal berkahwin bulan Mac ini

Foto: WAHIDAH ZAINAL

Penyanyi popular 90an, Mac Ruhayu berkongsi khabar gembira dirinya yang bakal berkahwin pada penghujung Mac ini.

Empunya nama penuh Mac Ruhayu Mohd Nor, 44 tahun akan diijabkabulkan dengan pasangannya, Sulaiman Mohamad, 54, di Pejabat Agama Islam Daerah Hulu Selangor, Kuala Kubu Baru, Selangor pada 27 Mac 2019.

“Bakal suami saya nanti adalah abang saudara saya sendiri. Dia telah melamar saya seminggu lalu.

“Saya terkejut dengan lamarannya kerana saya anggap dia seperti adik-beradik sendiri. Tak sangka saudara saya sendiri yang akhirnya berjaya membuka pintu hati saya untuk berkahwin lagi selepas 13 tahun.

“Setakat ini semua urusan perkahwinan diuruskan sendiri oleh anak-anaknya dengan dibantu oleh keluarga.

“Selepas berkahwin saya masih akan aktif dalam bidang nyanyian dan juga perniagaan kek lapis seperti biasa. Bakal suami amat memahami dan menyokong karier saya,” kata Mac Ruhayu.

Mac Ruhayu dan Sulaiman

Bercerita tentang perkembangan terbaharu, Mac kini sedang sibuk mempromosikan album kompilasi berjudul 5 Suara Artis 90an yang turut menampilkan rakan penyanyi lain seperti Azie Mustapha, Adela, Haslinda dan Norlie Tamam.

“Dalam album kompilasi ini saya tampil dengan single baharu berjudul Moga Kau Mengerti ciptaan sepenuhnya Rosli Ahmad.

“Kemunculan album dan lagu ini adalah satu cara untuk saya dan penyanyi lain memberitahu yang kami masih wujud dan ada dalam industri. Selain minat kami yang mendalam dalam bidang nyanyian.

“Alhamdulillah setakat ini penerimaan peminat amat memberangsangkan dan mereka suka dengan single terbaru ini. Lagu Moga Kau Mengerti pun sudah dimainkan dicorong-corong radio tempatan.

“Kami membuat keputusan untuk muncul dengan album kompilasi mini ini kerana ramai peminat yang ingin menjadikannya sebagai koleksi mereka. Cetakan pertama sebanyak 2,000 unit telah pun terjual.

“Insya Allah cetakan kedua akan menyusul dan berapa banyak itu bergantung kepada permintaan peminat,” cerita Mac Ruhayu.

Ruang komen
Tajul Ariffin
News Reporter
error: Content is protected !!