Selebriti popular bakal meriahkan HARI EKSPORT BELIA 2018 di MATRADE

Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) akan menganjurkan Hari Eksport Belia 2018 pada 8 Disember 2018 sebagai satu inisiatif untuk menggalakkan penglibatan belia Malaysia dalam perdagangan antarabangsa.

Acara yang dijalankan buat julung kali ini akan mengambil tempat di Menara MATRADE di Kuala Lumpur dan akan menampilkan program-program seperti sesi bersama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri YB Datuk Darell Leiking untuk membincangkan peluang dan cabaran belia menceburi perniagaan global, sesi panel bersama usahawan selebriti, aktiviti sukan luaran seperti memanah, street soccer, wall climbing dan paintball, arked e-sukan, pertunjukan robotic, karnival jualan, pertunjukan dan tutorial fesyen, graffiti dan banyak lagi. Penampilan artis-artis terkemuka dan selebriti sosial media juga akan memeriahkan lagi acara ini.

Hari Eksport Belia 2018 adalah salah satu usaha untuk menggalakkan belia negara mengambil inisiatif untuk merangka pelan mengakses pasaran luar negara seawal penglibatan mereka di dalam aktiviti keusahawanan.

Menurut Ketua Eksekutif MATRADE Ir. Dr. Mohd Shahreen Zainooreen Madros, Hari Eksport Belia akan menjadi platform yang ideal buat golongan bawah 40 tahun untuk berhimpun dan mengembangkan rangkaian perniagaan mereka. “Sebagai agensi promosi perdagangan negara, MATRADE melihat usaha ini sebagai satu langkah yang proaktif bagi memastikan kesedaran tentang perdagangan antarabangsa di kalangan usahawan muda negara. Tambahan, kami melihat budaya keusahawanan belia semakin kuat pada waktu ini. Namun perspektif mereka masih bertumpu di peringkat domestik sahaja,” kata Mohd Shahreen.

“Justeru, penting bagi MATRADE untuk memastikan kesedaran dalam aktiviti eksport dapat dipupuk dari awal dan Hari Eksport Belia akan memainkan peranan dalam konteks tersebut,” tambah beliau.

Pengukuhan peranan belia dalam memacu perdagangan negara juga adalah seiring dengan aspirasi ASEAN yang mementingkan hubungan people-to-people, pemindahan teknologi dan perkongsian pengetahuan antara belia seperti yang termaktub di dalam pelan AEC 2025.

“ASEAN mempunyai populasi belia yang tinggi dan mereka mempunyai kekuatan yang khusus sebagai pengguna. Lebih 70 peratus populasi ASEAN adalah di bawah 45 tahun dan mereka memainkan peranan sebagai tenaga kerja negara selain menggerakkan budaya keusahawanan negara,”

“Kewujudan platform digital kini juga telah memudahkan akses mereka ke pasaran luar negara. MATRADE akan memberi bimbingan kepada mereka dari segi penyampaian maklumat pasaran, kesedaran strategi eksport dan akses pasaran agar mereka mendapat peluang untuk berdagang ke lebih 234 pasaran di seluruh dunia,” ujar Mohd Shahreen.

Kemasukan ke Hari Eksport Belia 2018 adalah percuma dan 2000 pengunjung terawal bakal menikmati cenderahati istimewa pada hari acara tersebut.

Untuk pertanyaan lanjut berhubung Hari Eksport Belia 2018, sila lawati laman sosial MATRADE di Facebook, Instagram (Youth Export Day) atau lawati laman sesawang www.youthexportday.com.

 
Ruang komen
URTV
News Reporter
error: Content is protected !!