Sekolah Cempaka pupuk semangat perpaduan dan keyakinan diri melalui seni persembahan

Foto: Zulfaiz Zakaria

Tidak hanya memberi tumpuan kepada pelajaran semata-mata, sekolah swasta Cempaka turut mengetengahkan seni persembahan dalam kurikulum pendidikan di kampus Cheras (silibus nasional) dan juga Damansara (silibus antarabangsa).

Mewajibkan setiap pelajar mengambil subjek tambahan seperti nyanyian, tarian, bermain muzik dan lakonan, Sekolah Cempaka percaya seni persembahan mampu melahirkan pelajar yang kreatif dan berkualiti tinggi.

Setiap tahun pelajar akan diberi peluang untuk mempamerkan bakat mereka dalam konsert persembahan sekolah yang melibatkan Sekolah Cempaka kampus Cheras dan juga Damansara.

Tahun ini, konsert yang diberi nama ‘Extra Danza 2019’ telah diadakan selama dua hari pada 4 dan 5 Oktober 2019 di Sekolah Cempaka kampus Cheras yang menyajikan persembahan bergenre kontemporari dan moden merangkumi tarian, nyanyian, muzik dan lakonan oleh pelajar serta guru.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Seni Persembahan Cempaka (CPAC), Andrew Chan, konsert ini telah diadakan sejak tahun 2009 dan untuk tahun ini seramai 150 orang pelajar mengambil bahagian.

“Konsert ini diadakan setiap tahun sebagai acara tahunan untuk mempertengahkan bakat pelajar-pelajar kami.

“Pelajar berpeluang menunjukkan bakat mereka dan dalam masa yang sama membina keyakinan apabila membuat persembahan dihadapan khalayak ramai,” kata Andrew.

Andrew Chan

Tambahnya, walaupun konsert itu diadakan di dewan sekolah, ia sebenarnya bertaraf seperti konsert sebenar dan dibuka kepada orang luar.

“Kami menggunakan sistem bunyi dan pencahayaan profesional dan pelajar yang membuat persembahan akan merasai pengalaman seperti membuat persembahan di konsert sebenar diluar.

“Konsert ini juga terbuka kepada penonton luar dan sambutan yang diberikan sangat memberangsangkan,” jelas Andrew.

Sementara itu, Pengasas Sekolah Cempaka, Datuk Freida Mohd. Pilus memberitahu selain mengetengahkan bakat dan membina keyakinan pelajar, konsert tahunan ini juga dapat memupuk semangat perpaduan dikalangan pelajar menerusi seni persembahan.

“Konsert ini bukan sahaja memupuk keyakinan kepada diri, malah ia juga dapat memberi semangat perpaduan dikalangan pelajar.

“Semangat perpaduan perlu bermula dari sekolah dalam usaha untuk memupuk nilai-nilai keharmonian antara kaum.

“Oleh itu konsert ini adalah salah satu cara untuk menerap semangat persaudaraan, perpaduan dan kerjasama kerana mereka akan bekerjasama secara kreatif untuk menjayakan persembahan di atas pentas.

“Melalui aktiviti seni persembahan, perpaduan antara kaum serta sikap saling hormat menghormati dapat dibentuk sekaligus melahirkan masyarakat majmuk yang harmoni,” ujar Freida.

Pengasas Sekolah Cempaka, Datuk Freida

Bercerita tentang penekanan seni persembahan dalam kurikulum sekolah, Datuk Freida berkata, seni persembahan adalah salah satu cara untuk pelajar belajar fokus dan meningkatkan kreativiti.

“Apabila pelajar tahu cara untuk fokus, secara tidak langsung akan dapat meningkatkan pembelajaran dengan mudah.

“Selain itu, pemikiran kreatif dapat dibentuk dan dilatih menerusi seni persembahan.

“Kreativiti sebenarnya boleh dibentuk dan dilatih. Seni persembahan membantu pelajar menganalisis dan menyelesai masalah dengan kreatif yang boleh digunakan pakai dalam pembelajaran dan kehidupan,” kata Freida.

Ruang komen

Please enter banners and links.

Tajul Ariffin
News Reporter
error: Content is protected !!