Sara Ali tak guna cara ‘kotor’

“BETUL, lagi banyak buat masalah lagi popular seorang artis. Kalau artis dulu kami cukup takut terkena gosip panas. Boleh buat tak ada job,” kata Sara Ali bercerita tentang keadaan semasa industri seni.

Jika satu masa dahulu kebanyakan artis menjaga tingkah laku agar tidak dijadikan bahan gosip, tetapi sekarang situasinya telah berubah.

Kebanyakan artis baharu tidak kisah untuk dijadikan bahan gosip dan ada kala memang mereka sendiri yang ‘meminta’ untuk dijadikan bahan ‘cercaan’ masyarakat bagi menaikkan nama masing-masing.

Mengulas mengenai perkara tersebut, Sara tidak menafikan berlakunya perkara itu namun untuk dirinya tidak akan sekali-kali dilakukan semata-mata untuk menaikkan nama sendiri.

“Masih banyak cara yang boleh dilakukan untuk maintain kerjaya seni. Kalau ada disiplin yang baik, mutu kerja yang bagus rasanya tak akan ada masalah untuk terus hidup.

“Saya tak akan sesekali menggunakan jalan begitu,” kata Sara yang kini sedang sibuk menjalani penggambaran drama Sesalan Terakhir terbitan Kembara Sufi Production Sdn. Bhd.

Berterima kasih kepada Jaja Ishak sekali Penerbit kerana memberikan kepercayaan kepadanya, ini merupakan kerjasama kedua antara mereka.

Selain Sara, turut membintangi drama arahan Datuk Jurey Latiff Rosli ini termasuklah Faizal Hussein, Jasmin Hamid dan Hafiz Nolan.

Ruang komen
error: Content is protected !!