Rumah sahabat hangus, U-Topia  sedih mohon bantuan

VOKALIS U-topia memohon peminat dan orang ramai sudi menghulurkan bantuan kepada mangsa kebakaran di Bentong, Pahang petang semalam ( 16 Mei 2019).

“Kejadian berlaku di Kampung Kuala Repas sekitar pukul 6.30 petang melibatkan rumah sahabat U-topia, Mohamed Afeeq Awaluddin dan keluarganya.

“Sedih mendapat tahu berita menimpa Afeeq sekeluarga dan jiran jirannya itu. Malangnya rumah Afeeq paling terjejas kerana sewaktu kejadian,  dia dan keluarga tidak ada dalam rumah.

“Malam tadi Afeeq  datang ke rumah  mengadu nasibnya dan sempat saya memberikan sumbangan  pakaian  apabila mendapat tahu, dia dan  keluarganya tinggal  sehelai sepinggang,” kata Mohamad Safee Soefian atau Afee selaku vokalis U-topia kepada URTV.

Afeeq (kiri) bersama Afee

“Saya harap sudilah juga peminat-peminat U-topia  dan orang ramai  tampil membantu  memberikan   pakaian, barangan keperluan asas  atau  wang ringgit untuk  mereka,” tambahnya.

Ketika bercakap dengan Mohamed Afeeq Awaluddin  pagi tadi,  beliau memberitahu URTV, “Saya menyewa di kuaters surau kampung, tinggal dengan isteri dan seorang anak kami.

“Dua orang anak lagi dah kahwin tinggal di tempat lain dan seorang lagi anak kami  tinggal dengan datuknya.

“Sewaktu kejadian,  saya dengan keluarga berada  di bazaar Ramadan.

“Semua barang dalam rumah tak dapat diselamatkan bila api cepat merebak. Rumah jiran bersebelahan kami, juga terlibat.

“Hubungan saya dengan Afee dan U-topia sebagai sahabat kerana sejak dulu saya menyokong band ini. Kalau mereka ada show, saya sering ikut sama. Saya berterima kasih atas keprihatinannya bila mendengar masalah saya dan keluarga.”

Afeeq menganggarkan kerugian dialami sebanyak RM18,000 apabila barang perniagaannya turut hangus.

“Sebelum ini saya membuat perniagaan membekalkan pati minyak wangi, antaranya gaharu. Semuanya dah habis terbakar. Punca kejadian tak dapat dikesan lagi tapi saya percaya berkaitan litar pintas. Maklumlah, kuaters itu sudah  lama,” tambahnya yang sekarang menumpang duduk di rumah ayahnya  di alamat 46, Taman Wangi, Jalan Kuala Lumpur, 28700,Bentong,  Pahang.

Dan jika ada yang ingin memberikan bantuan  kepada beliau, boleh menghubungi alamat tersebut. Jika ada sumbangan kewangan secara peribadi kepada Afeeq,  boleh menggunakan akaun Maybank 1561 3260 2548.

Sama-sama kita berdoa agar Afeeq dan mangsa kejadian lain beroleh hikmah dan rezeki di sebalik tragedi ini.

Dan pada bulan mulia ini usaha murni menghulurkan sumbangan dengan keikhlasan adalah perbuatan yang baik. Ingat lah,  sesungguhnya Allah menyukai orang yang tidak sombong dengan harta-hartanya.

KONSERT SELEPAS SYAWAL

SEMENTARA itu, bercakap tentang perkembangan U-topia,  URTV diberitahu band-band rock kapak 80an di bawah  Malaysia Rock Legend Fan Club sedang merangkakan konsert  jelajah selepas sambutan Aidilfitri  tahun ini.

“Malam nanti saya bersama-sama vokalis band-band terlibat antaranya Gamma, Gravity, Olan, Sejati, Putera, Fair dan Meditasi akan mengadakan perjumpaan mengenai  persiapan konsert yang  hanya melibatkan para vokalis ini.

“Konsert pertama dijadualkan berlangsung di  Felda Mempaga dekat Raub, Pahang. Rancangannya persembahan dalam dewan  dengan jualan tiket masuk serendah RM30.00 seorang,” cerita Afee.

Ruang komen
Huzz
News Reporter
error: Content is protected !!