ROZITA ROHAIZAD jawab isu SALOMA  

ANAK saudara Allahyarham Puan Sri Saloma ada jawapan mengapa tidak mahu menukar imej penampilan dan pakaiannya kepada gaya penyanyi legenda itu walaupun tidak ada masalah menyanyikan lagu-lagu  popular biduanita negara itu di merata pertunjukan.

“Saya suka dan masih menyanyikan lagu-lagu Allahyarham Saloma kalau ada undangan. Saya pernah merakamkan semula lagu popularnya seperti Chik Chik Bung.

“Sememangnya sewaktu hayatnya masih ada, arwah suka saya menyanyikan lagu-lagunya selain ibu saudara saya, Mimi Loma, yang adakala menggantikannya menjayakan persembahan,  jika tidak sihat.

“Begitu juga sekarang, kami berdua masih menyanyi lagu-lagu evergreen beliau. Tak hanya menyanyikan lagu-lagu arwah Mama (Saloma) tapi juga Mami ( ibunya, Allahyarham Seniwati Mariani).  Mami pernah cakap, mahu saya ikut jejaknya dalam dunia lakonan.

“Kata Mami selain untuk Mama (Saloma), apa salahnya cuba berlakon sebab  emak terkenal sebagai pelakon selain pernah menyanyi. Namun dalam soal lakonan, saya bergantung pada tawaran dan masa. Maklum, adakala saya di luar negara menyanyi.

“Cuma bila ada yang mahu saya sentiasa bergaya macam Saloma, saya tak mahu, sebab mahu jadi diri sendiri. Kecuali, kalau diminta  menyanyi untuk tribute kepada arwah saya, tak kisah memakai fesyen baju beliau.

“Dalam gelanggang hiburan saya mahu dikenali sebagai Rozita Rohaizad dengan penampilan sendiri. Ramai pun maklum, sebelum ini saya terkenal suka nyanyi lagu lagu pop dan jazz, Melayu dan Inggeris selain ada single sendiri.

“Malah kini berminat menyanyi dan merakamkan lagu-lagu baru irama joget, zapin dan tradisional Melayu, ” kata Rozita Rohaizad.

Jom layan video wawancara Rozita Rohaizad dengan URTV mengenai perkembangan lain tentang dirinya selain statusnya yang masih single.

Ruang komen
Huzz
News Reporter
error: Content is protected !!