Putus cinta…“Saya dah move on”- ZAMANI

Foto: FAISOL MUSTAFA

PENYANYI yang tengah popular dengan lagu Aduh, Zamani Slam mengaku menjalani kehidupan dengan kesibukan bekerja tanpa memikirkan kisah lama dengan bekas kekasih.

Ketika berbual secara eksklusif untuk URTV petang 12 Mac 2019, kata Zamani, “Dia (bekas kekasih) sudah pun berkahwin. Dah bersuami dan ada anak.

“Saya dah move on. Saya tak mahu dikaitkan dengan cerita lama. Status saya sekarang, masih single. Saya tak terbawa-bawa  kenangan atau jatuh sakit kerana kisah cinta lama.

“Saya terima suratan. Apa pun, kenapa tak ada pengganti  kekasih sampai ke hari ini  bukanlah kerana serik. Ini semua soal takdir. Saya belum jatuh cinta lagi. Sekarang nak fokus kerja dan kehidupan.”

Zamani tumpang gembira dengan kehidupan orang yang pernah hadir dalam hidupnya. Dia berharap tidak dibangkitkan kisah-kisah lama kerana menghormati kehidupan orang lain.

Zamani menafikan, lagu terbaharunya yang sedang jadi kesukaan ramai, Aduh (ciptaan Faizal Tahir), tak ada kena mengena dengan memori cinta lama.

“Aduh tak ada kena mengena dengan cerita lama dalam hidup.

“Betul, memang  ada lirik  yang saya tambah, tapi tak ada kena mengena dengan cerita cinta berlalu,” akui Zamani yang turut teruja mendapat tahu respons peminat terhadap lagu baharunya yang mendapat sambutan.

Mana tidaknya,  ia mendapat perhatian (lebih 1 juta melayari internet) dalam masa 13 hari lagu itu dimuat naik sebagai tanda ‘pelancarannya’.

Zamani bakal muncul bersama-sama Datuk Jamal Abdillah dan Ameng  pada 6 April ini di Stadium Indera Mulia, Ipoh, Perak.

Selesai konsert itu, dijadualkan kemunculan Zamani secara solo di Esplanet, Singapura, tak lama lagi.

TIDAK RIAK

Mengenai sakit tulang belakangnya, Zamani mengaku  telah menolak  usaha dan bantuan peminat mahu membiayai kos rawatan.

“Saya sudah berterus terang dengan beliau , saya tak mahu menerimanya. Terima kasih atas usahanya untuk saya. Bukannya riak atau sombong tapi setakat ini rasanya ada baik, saya  sendiri menanggung kos rawatan.

“Selagi saya mampu bekerja  saya tak mahu mengharap bantuan orang lain. Saya berterima kasih kepada ramai  peminat   yang selama ini menyokong dan  membantu kejayaan karier,” katanya.

Zamani ditemui URTV selesai  Majlis Apresiasi Media MBPJ 2019 yang berlangsung di Dewan Banquet MBPJ, Petaling Jaya.

Majlis itu meraikan peranan media cetak, penyiaran dan digital  mempromosi program dan pembangunan Petaling Jaya pada tahun lalu.

Kumpulan Utusan menerima dua penghargaan untuk Utusan Online dan Mangga Online manakala anugerah keseluruhan dibolot Media Prima.

Majlis dihadiri oleh ramai  tetamu media tempatan dan warga MBPJ  itu turut juga meraikan kenaikan pangkat Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohd Aziz Mohd Zain sebagai CEO PKNS yang baharu.

Ruang komen
Huzz
News Reporter
error: Content is protected !!