PRINCE AFFA tak mahu jadi artis ‘one hit wonder’

Penyanyi baharu, Prince Affa atau nama sebenar Tengku Indra Muzaffar, 17 tahun antara penyanyi baharu yang mewarnai lagi industri nyanyian tanah air.

Anak kepada ratu keronchong Malaysia, Adilla Idris ini kini muncul dengan single pertama berjudul Lafazkan Cinta.

“Alhamdulillah, saya rasa bersyukur impian untuk bergelar penyanyi dan mempunyai lagu sendiri kini menjadi kenyataan.

“Dengan kemunculan single pertama ini, saya akan membuktikan yang saya sudah bersedia untuk serius dalam bidang nyanyian.

“Sebenarnya terdapat beberapa lagu lain yang sudah saya rakam, tapi saya memilih lagu ini sebagai single pertama kerana lagu ini sesuai dengan diri saya.

“Lagu Lafazkan Cinta adalah ciptaan sepenuhnya komposer, Jari yang mengangkat tema cinta berentak balada.

“Harapan saya adalah agar lagu ini dapat diterima oleh semua golongan pendengar muzik tanah air tak kira umur dan kehadiran saya akan dapat memeriahkan lagi industri muzik tanah air,” ujar Affa.

Tambah Affa, beliau akan memastikan terus muncul dengan lagu-lagu lain agar tidak hanya dikenali dengan sebuah lagu sahaja.

“Tidak kira kita baru atau pun lama, persaingan sentiasa ada. Saya bukan saja bersaing dengan penyanyi-penyanyi baru seperti saya malah dengan penyanyi sedia ada yang lebih berpengalaman.

“Saya tak rasa tertekan, malah saya ambil perkara ini secara positif untuk membina semangat dan keyakinan dalam mengharungi cabaran sebagai seorang penyanyi baru dalam industri ini.

“Walaupun lagu Lafazkan Cinta ini masih baru, saya sudah merancang untuk single kedua pula. Saya memang ingin merancang awal perjalanan kerjaya kerana saya mahu kekal lama dalam industri ini.

“Mudah-mudahan saya akan kekal menjadi seorang penghibur yang baik dan mempunyai peningkatan pada masa akan datang,” cerita Affa.

Foto: NOOR AZLINA OTHMAN

Ruang komen

Please enter banners and links.

Tajul Ariffin
News Reporter
error: Content is protected !!