PETUA menarik ANITA SARAWAK

BILA cuaca panas membahang, ramai yang tak selesa, hinggakan ada yang batuk-batuk dan jatuh sakit. Semuanya  apabila kurang minum air dan terdedah di luar rumah. Selain disaran meneguk air bersih atau masak, tentu ada yang ingin tahu, apakah minuman lain dapat membantu menyejukkan badan?

Yang pasti, elakkan yang bergas  atau  banyak gula! Itu pesanan dan nasihat pakar kesihatan.

URTV ingin berkongsi kepada semua, nasihat eksklusif penyanyi terkenal antarabangsa, Anita Sarawak rahsia beliau `menyejukkan’ badan!

“Kak Nita suka minum air timur campur dengan  madu lebah. Kalau Huzz nak tahu, mudah saja buatnya, hiris timun segar,  halus- halus, masukkan ke dalam gelas kemudian tuangkan air. Lepas tu, masukkan madu lebah. Kacau. (guna sudu kayu kalau menggunakan madu lebah). Tutup gelas dan masukkan  ke dalam peti sejuk.  Biar semalaman. Minuman ini Kak Nita suka minum setiap kali berbuka puasa,” katanya.

Minuman ini juga sangat baik ketika cuaca musim panas.

Ketika  menetap di sini,  Anita Sarawak antara artis ramah berbual sama ada waktu kami berhubung di telefon atau berjumpa secara berdepan.  Beliau juga tidak sombong, sering menghubungi  di telefon (sebelah malam hari) dan setiap kali menghubungi kita,  perkataan yang suka disebut selepas mengucapkan salam ialah  `apa khabar sayangku?.’

Pernah ketika kami duduk berbual tentang diet, Anita mengakui, dia suka makan lauk pauk kampung termasuk sambal belacan. Jangan fikir sudah mendapat kerakyatan Amerika bertahun lama, makanan dan slanga cakapnya pun berubah, macam sesetengah orang kita.

“Nak diet, jangan tak makan nasi. Kak Nita  akan makan nasi setiap  hujung minggu,  masa tu haaa…makan  nasilah dengan  masak lemak cili api ke sambal belacan ke, boleh saja”.

Jangan tak tahu, beliau juga handal di dapur. Bukan saja pernah menjamu famili dan kawan-kawan tapi juga rakan wartawan dengan masakannya.

“Dulu masa ibu Kak Nita ( seniwati Allahyarham Siput Sarawak), memasak, Kak Nita suka tengok.  Masa tu belajarlah. Begitu juga Kak Nita suka makan masakan Mami ( seniwati Allahyarham Umi Kalthum, ibu tirinya).

Anak sulung seniman Allahyarham S. Roomai Noor ini, juga handal memasak menu barat.  Stik kambingnya memang sedap! Saya sendiri masih teringat sedapnya hidangan itu.

“Petuanya, perap segala bahan rempah dengan daging semalaman. Perap mesti sukat bahan dengan betul. Kalau nak masak apa pun, bahan digunakan mesti betul dan segar,” pesannya.

Noorkumalasari   mengakui, dia suka  menu barat `air tangan’ kakaknya itu.

Tak hanya cantik, kemas dan menjaga penampilan setiap kali di pentas atau keluar rumah, Anita Sarawak cukup mengutamakan kebersihan rumah tanpa perlu menggunakan pembantu.

“Kenalah memastikan rumah itu  kemas , teratur dan bersih. Semua itu penting, akan membuatkan kita sentiasa berasa selesa.”

“Kak Nita buat sendiri, pernah mob lantai, tengah pagi. Dulu, kalau  Kak Nita balik kerja  (lepas menyanyi) di tengah malam,   masih bertenaga nak mop lantai,” ceritanya.

Sifat pembersih itu sama dengan adiknya,  Noorkumalasari.

Pasti ramai tak percaya, kalau dikatakan,  Noor  agak pelik dalam zaman moden suka mengelap lantai rumah cara orang dulu-dulu.   Sambil duduk dengan kain di tangan dia akan  mengesot membersihkan lantai.  Itu pengakuan Noor ketika saya  pernah bertandang ke rumahnya dan kami bercerita berbual tentang kerja rumah, Noor macam Anita, tidak menggunakan khidmat pembantu rumah.

Berbalik kepada Anita Sarawak ada satu lagi petua daripadanya yang saya kira wajar diambil perhatian oleh golongan suami isteri.

“Kalau ada suami isteri bermasam mula, salah faham atau tak sependapat dalam sesuatu perkara ,jangan sama-sama `panas’. Salah seorang mesti cool atau beralah.

“Suami atau isteri kena duduk di luar rumah (kawasan taman)  `melarikan diri’ seketika,  agar tak memanjangkan perbalahan.  Cara lain untuk menyelesaikan masalah pasangan tentang perangai masing-masing, dengan cara begini…. ambil kertas dan pen, kemudian masing-masing  duduk di meja berlainan,  Tulis apa  sepuluh tentang pasangan, disukai dan tidak.

“Kemudian berikan  kepada pasangan. Kena masing-masing terbuka untuk membaca pendapat pasangan dengan  positif untuk berusaha  memperbaiki  kelemahan. Semuanya, demi mengeratkan  hubungan suami isteri ,” pesannya.

Dalam erti kata, lain, kena bertolak ansur dan berusaha memperbaiki hubungan cinta dengan baik. Anita Sarawak tidak suka amalan pertengkaran dan mementingkan diri dalam menyelesaikan masalah.

Selain itu, Anita Sarawak juga artis yang cukup hebat dalam menjadualkan kerja dan masa. Pernah saya berjanji untuk mengadakan fotografi dengannya pukul 4.30 petang, pukul 4.00 petang beliau sudah selesai bersolek dan bersiap. Bukan macam adanya artis sekarang janji pukul 4.30, waktu itu masih belum ada secalit solekan di muka.

Begitulah kalau hendak melakukan pertunjukan, dia tidak mahu lewat di belakang pentas. Kalau persembahannya pukul 9.00 atau 10.00, pukul 8.30 muncul di belakang pentas.

Anita Sarawak, bijak berdandan sendiri tanpa menggunakan jurusolek, baik untuk pertunjukan atau ketika fotografi dan menghadiri ke majlis undangan.

Di mana pun Anita Sarawak sekarang, sama ada di Las Vegas atau berpindah ke kawasan lain di Amerika Syarikat, sama-sama kita mendoakan kesejahteraan beliau dan berharap, beliau akan kembali ke tanah air bertemu peminat-peminat dalam program hiburan atau lain-lain, yang dapat melepaskan rindu semua terhadapnya.

Sebagaimana kata Noorkumalasari akhir tahun lalu, jangan mendengar cerita karut orang tentang kakaknya (kononnya tak sihat).

Yang betul, Anita Sarawak  walaupun jauh  di negara orang, tak lokek masa menghubungi adik-adiknya bertanya khabar. Terkenang juga  kata Allahyarham Umi Kalthum kepada saya tak lama dulu memuji Anita,  “Nita selalu call bertanya khabar waktu saya dan suami di Mekah  apatah lagi ketika ayahnya tak sihat, Nita tak henti telefon dan ingin tahu perkembangannya.”

Ruang komen
Huzz
News Reporter
error: Content is protected !!