Padah Akibat Hasad Dengki Dalam Telemovie JEMAAH KAKIKU di TV2

Sikap dengki, cemburu dan tidak amanah dalam mencari rezeki tidak halal akan mendatangkan padah. Realitinya ia berlaku dalam kalangan masyarakat kita hari ini meskipun sedar tindakan mereka itu salah dari segi moral diri begitu juga dari sudut agama.

Cuba mengajak penonton menyedari akan impak negatif yang bakal terjadi bila seseorang itu masih berkelakuan sama tanpa usaha untuk berubah ke arah kebaikan, Radio Televisyen Malaysia (RTM) tampil dengan telemovie bertajuk “Jemaah Kakiku” yang disiarkan pada 19 Oktober ini, pukul 2.00 petang menerusi TV2.

Dijayakan wataknya oleh Mubarak Majid, Taha Wahid, Sheera Iskandar, Yus Waisar dan Aizad Rosli, ia mengangkat latar cerita tentang watak Hj. Salim, seorang persara yang membuka bisnes mengurut secara halal di tepi jalan yang mendapat tentangan dari Mokhtar, orang sekampung dengannya yang mempunyai dua pembantu tukang urut, Kamal dan Wahid.

Khairuddin, menantu Hj. Salim, seorang agen untuk insurans takaful dan isterinya Dr. Khadijah, anak Hj. Salim menasihatkan Hj. Salim agar mendapatkan lesen perniagaan bagi menjalankan bisnes yang disahkan kerajaan.

Mokhtar mencari jalan untuk mengatasi kemajuan Hj. Salim yang menggunakan tenaga tiga orang buta untuk menjadi pekerja tukang urutnya. Bagi menambahkan penarikan pelanggan, Mokhtar menjual ubat untuk lelaki, di samping mengurut pelanggannya, walaupun caranya tidak jujur dengan pelanggan.

Khairuddin mengambil peluang untuk mendekati pelanggan Hj. Salim bagi menjual skim insurans sambil menabung dengan takaful. Dia berjaya mendapat beberapa pelanggan, termasuklah pelanggan Cina seperti Tan Hong Meng. Tajul, anak Mokhtar juga tidak suka dengan keluarga Hj. Salim sebagaimana sikap ayahnya. Dia selalu kutuk dengan kata-kata kesat kerja halal yang dilakukan oleh Khairuddin.

Satu ketika, seorang pelanggan yang menyamar sebagai pelanggan buta mengurut dengan Wahid. Tanpa disedari, pelanggan buta tersebut melarikan dompet Wahid. Kamal dan Wahid mengejar tetapi gagal menangkapnya.

Tajul mengajak Tan membonceng motosikalnya bagi menolong mengejar pencuri buta tersebut. Tanpa sengaja, berlaku satu kemalangan jalan raya yang meragut nyawa mereka berdua. Isteri Tan terkejut apabila menerima sejumlah besar wang dari tabungan insurans yang mendiang suaminya simpan dengan syarikat takaful. Dia tidak tahu suaminya ada membuat urusan dengan Khairuddin.

Mokhtar pula sedih apabila dia kini terpaksa menanggung kewangan isteri dan anak arwah Tajul. Bagi meredakan kesusahan Mokhtar, Hj. Salim mengajak Mokhtar untuk bersamanya membuka sebuah kedai mengurut.

URTV
News Reporter
error: Content is protected !!