NORYN, MISHA dan SARAH bergabung dalam KONSERT SOUL SISTERS

Tiga penyanyi yang mempunyai vokal yang mantap iaitu Noryn Aziz, Misha Omar dan Siti Sarah akan bergabung dan beraksi dalam Konsert Soul Sisters di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur tahun hadapan.

Menampilkan genre muzik Soul dan R&B, konsert unik dan hebat yang akan diterbitkan oleh syarikat produksi persembahan Edd Razhe Entertainment (ERE) itu akan berlangsung selama dua hari pada 5 dan 6 April 2019.

Menurut Produser dan Pengarah Urusan ERE, Encik Edd Razhe, konsert itu akan menjanjikan sebuah persembahan berbeza berbanding konsert-konsert lain yang pernah dipersembahkan di Istana Budaya.

“Pemilihan 3 penghibur popular Malaysia ini dibuat berdasarkan reputasi serta kemampuan mereka menyanyi secara live termasuk mendendangkan lagu bergenre soul dan R&B. Mereka juga berkebolehan menyampaikan lagu-lagu Inggeris dengan hebat.

“Bagi saya, ketiga-tiga artis rakaman ini sudah lama mencipta nama di rantau ini dan sudah sampai masanya mereka diberi peluang untuk beraksi dalam konsert berprestij di pentas Istana Budaya.

“Sebagai satu kelainan, ERE mengorak langkah menggabungkan mereka buat pertama kalinya sebagai Soul Sisters, khusus untuk tatapan peminat pada konsert ini,” katanya ketika sidang media Konsert Soul Sisters yang turut dihadiri oleh Penasihat Konsert Soul Sisters, Dato’ Aziz Bakar dan Pengarah Vokal, Datuk Syafinaz Selamat semalam.

Tambah Edd, konsert selama hampir 2 jam itu akan mengetengahkan beberapa segmen menarik dan kesemua mereka akan diiringi oleh sekumpulan pemuzik profesional pimpinan Dato Nasser Abu Kassim.

Selain itu Soul Sisters Concert bakal menggabungkan kepakaran teknikal, penataan cahaya, visual dan bunyi yang bertaraf antarabangsa.

Tiket-tiket berharga RM755 (Meet & Greet), RM555 (Diamond), RM355 (Platinum), RM255 (Gold) dan RM155 (Silver) boleh ditempah mulai 8 November 2018 menerusi  www.airasiaredtix.com 

Sebarang pertanyaan mengenai tiket juga boleh dibuat melalui e-mel support@airasiaredtix.com

Tajul Ariffin
News Reporter
error: Content is protected !!