NAMA SHAWAL OSMAN LEBIH BERTUAH

SEBELUM ini, pelakon dan pengarah  Erma Fatimah pernah  menggubah ejaan nama kepada Eirma Fatimah,walaupun sudah terkenal dengan nama asal.

Aktor sensasi,  Amran Ismail   yang kemudian mahu dikenali sebagai Amaris dalam dunia hiburan, meminta diubah namanya kepada  Putera Amaris . Sekembali  berlakon di Indonesia, katanya, pihak produksi sana mencadangkan dia perlu menambah nama Putera  agar lebih menarik.

Selain itu, ada beberapa lagi artis pernah  melakukan hal sama. Bila berbual hal menukar nama  ini , pendatang baru, Awal Osman  mengaku  ada sebab mahu popular sebagai Shawal Osman.

“Ketika nak cari tapak dalam dunia hiburan, saya pakai nama Awal Osman.  Merantau dari Tapah, Perak ke Kuala Lumpur,  besar hati nak jadi model, penyanyi dan pelakon.

“Dengan kerjasama seorang pemilik event ( Ika), saya  berharap impian nak jadi artis tercapai.

“Waktu tu tak mampu nak duduk rumah sewa. Saya tumpang  tidur dalam stor baju,  milik Cik Ika. Tidur pun, beralas kain langsir dan baju lama, bukan sebulan dua begitu…tak apalah, dugaan merantau!

“Tunggu peluang berlakon ketika itu,  macam tunggu buah tak gugur dari pokok. Bila tiba-tiba ada orang nak bagi kerja berlakon,  seronoknya,  bukan kepalang.  Tak kisahlah, dapat peranan pelakon tambahan, pun dah besar hati.

“Saya dan beberapa orang pelakon baru berbadan tegap dari Malaysia, lulus uji bakat. Kami diberi peranan watak anggota dalam  pasukan khas polis untuk filem antarabangsa Operation Mekong  terbitan produksi negara jiran, sekitar tahun 2016.

“Kalau beritahu kawan-kawan , sayalah antara pelakon dalam filem itu sesudah ditayangkan di sini, pasti  ramai tak percaya. Tak nampak pun muka saya sebab  kena  pakai topeng, dalam filem itu.

“Dan sesudah itu …ingatkan dapat tawaran berlakon lagi. Tapi tak seindah bermimpi…payah betul. Tawaran jadi model pun tak menentu.

“Rasa sedih, akhirnya  buat saya bercadang nak balik kampung sahajalah. Terasa susahnya nak cari rezeki di Kuala Lumpur. Minta kerja makan gaji tak ada dan  minta kerja dalam dunia hiburan pun payah.

“Entah macam mana..kemudiannya Allah gerakkan hati saya,  terfikir nak tukar nama. Berkata di hati…jangan-jangan nama Awal Osman itu, tak kena dengan saya!

“Lalu saya  mahu pakai nama asal, Shawal Osman. Kebetulan, masa itu, tiba-tiba, ada  pula wartawan akhbar sudi nak inteview  saya, hasil usaha kawan, Cik Ika.

“ Saya beritahu pemberita itu,    tulis nama saya sebagai Shawal Osman. Tapi saya tak ceritalah kenapa nak ubah nama. Dia menulis tentang minat dan impian dalam    dunia hiburan.

“Dan alhamdulillah, sesudah ditukar nama sebagai Shawal Osman, dalam  diam-diam banyak  job berlakon datang.

“Saya dapat offer main filem aksi MOX arahan Zulkifli Osman pada tahun lalu. Lepas tu  berlakon pula untuk  Bikin Filem (arahan Latif Zami).

“Drama-drama TV pula, BimbiBonni Misi 007 (stesen Astro), Sweetie Nani (TV2),  Gerak Khas Perangkap Jalanan (TV2) dan beberapa lagi.

“Awal tahun ini  dapat tawaran pula bekerja dengan sebuah syarikat makanan segera dengan gaji dan pangkat sebagai pegawai.  Tak hanya itu, single nyanyian saya, berjudul   Pencinta sudah pun, sudah  dirakamkan. Tunggu nak promosi.

“Lepas itu, ada jenama pakaian terkenal, jadikan saya model lelaki memperagakan koleksi baju-baju terkininya, “katanya.

Shawal bagaimanapun,  belum bersedia mengharap sumber rezeki sepenuhnya dalam dunia glamor sahaja.

“Betul sedang rancak ada tawaran berlakon tapi saya belum terfikir berhenti makan gaji. Insya Allah, saya boleh memohon cuti dan memastikan, jadual kerja sebagai pelakon tak sampai tak ke pejabat.

“Andai, suatu hari nanti dah tak menang tangan dengan tawaran berlakon, pun saya akan fikir dulu, nak  berhenti atau tidak,” tambahnya.

Berkat sabar meredah dugaan, Syawal Osman akhirnya menggenggam impian.  Dan kepada yang liat nak dapat tempat dalam dunia hiburan, cuba-cubalah tukar nama, mana tahu, kalau-kalau nama yang digunakan, kurang menyerlah.

Ruang komen

Please enter banners and links.

Huzz
News Reporter
error: Content is protected !!