NABILA RAZALI seronok beli juadah berbuka di bazar Ramadan bersama peminat

Biasanya majlis berbuka puasa artis bersama kelab peminat diadakan di restoran atau hotel.

Namun, penyanyi Nabila Razali dan kelab peminatnya, Nabaela FC tampil kelainan tahun ini dengan berbuka puasa secara sederhana dan membeli juadah di bazar Ramadan Kampung Baru.

“Alhamdulillah walaupun Ramadan ini agak sibuk tapi saya masih mencari masa berbuka bersama peminat kerana aktiviti ini hanya setahun sekali sahaja.

“Kali ini kami tidak berbuka puasa di hotel atau restoran tapi inginkan kelainan dengan membeli juadah bersama mereka.

“Dengan cara itu rasanya lebih rapat dan mereka tahu apa yang saya suka ia lebih menyeronokkan!” ujar Nabila ketika ditemui pada majlis iftar Ramadhan Sempoi Bersama Nabila Razali di Halaman Sempoi Kampung Baru, pada Sabtu.

Tambah Nabila, walaupun sibuk dengan aktiviti seni, dia tetap meluangkan masa berbuka bersama peminat kerana ia adalah salah satu cara untuk dia menghargai peminat yang sentiasa menyokong kerjayanya dalam bidang seni.

“Mereka tulang belakang saya sebagai artis, apalah salahnya jika meluangkan masa beberapa jam dalam sebulan ini untuk berbuka puasa bersama mereka.

“Saya juga tidak mahu bebankan mereka keluar duit semata-mata untuk jumpa dan berbuka bersama. Kita beli yang mana mahu sahaja dan kongsi-kongsi supaya tidak membazir,” cerita Nabila.

Nabila memilih bazar Ramadan Kampung Baru kerana ingin memberi kesedaran tentang cara baharu bayaran tanpa tunai yang boleh digunakan di bazar berkenaan menggunakan aplikasi Touch ‘n Go, eWallet.

“Bazar kampung baru ini merupakan bazar Ramadan pertama yang menggunakan urusan bayaran tanpa tunai.

“Jadi lebih senang tak perlu tunggu lama untuk berurusan pembayaran,” katanya.

Majlis berbuka puasa tersebut dihadiri lebih 50 orang peminat-peminatnya.

Pada acara itu Nabila turut menyampaikan tiga buah lagu secara akustik sementara menunggu waktu berbuka puasa.

Ruang komen
Tajul Ariffin
News Reporter
error: Content is protected !!