Motosikal Kazar jadi buruan dalam telefilem ‘Al-Kisah Dua Roda’

Kazar atau Kazarudin Saisi, pelakon yang juga pernah dikenali sebagai penyanyi ini sewajarnya diberikan pujian kerana setiap watak dibawakannya tidak pernah gagal memberi kesan kepada penonton. Berilah apa saja watak kepadanya baik antagonis atau protagonis, mahu pun komedi pasti menjadi.

Terbaharu beliau muncul sebagai watak utama dalam telemovie bertajuk “Al-Kisah Dua Roda” disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada 22 September ini, pukul 10.00 pagi mengisi slot Panggung Ahad di TV1.

Menariknya dalam drama yang membongkar misteri di sebalik motosikal besar yang menjadi rebutan watak-watak dalam cerita arahan Pali Ishak ini, turut menyaksikan beliau bergandingan bersama-sama pelakon Azrul Zaidi, Amerul Affendi, Akmal Ahmad, Alif Hadi dan Zera Hariz.

Disampaikan secara santai komedi kisah ditonjolkan ini memaparkan sikap sekumpulan remaja yang sangat obses untuk memiliki sebuah motosikal berkuasa tinggi. Ia bermula dengan memperkenalkan watak protagonis dalam cerita ini tentang seorang warga emas bernama Pak Yaakob yang kaya.

Pak Yaakob seorang duda berharta yang memiliki sebuah motosikal Vespa. Sementara itu Roy pula merupakan watak antagonis dalam cerita ini merupakan pemuda anak ketua kampung yang sering iri hati melihat Pak Yaakob yang sering bergaya menunggang motosikal Vespa di sekitar kampung mereka.

Kelebihan dimiliki Pak Yaakob membuatkan Roy menjadi semakin benci kepadanya apatahlagi bila dia mendapat tahu, Yati teman wanitanya juga sudah mula terpikat dan jatuh hati kepada Pak Yaakob.

Perasaan benci ini bertambah apabila melihat Pak Yaakob membeli sebuah motosikal baharu berkuasa tinggi berjenama Yamura yang menjadi idaman setiap pemuda kampung tersebut. Roy dan kawan-kawannya menganggap Pak Yaakob umpama orang tua yang tak sedar diri kerana mahu berlagak seperti orang muda.

Sementara itu motosikal ini menjadi semakin penting dalam cerita ini bermula apabila dua beradik, Kai dan Adik menyembunyikan sebutir berlian yang dicuri oleh mereka dalam tangki minyak motosikal tersebut.

Demi untuk mendapatkan semula berlian yang sangat berharga itu, mereka sanggup melakukan apa sahaja termasuklah mengintip setiap perbuatan Pak Yaakob. Sedikit kecuaian Pak Yaakob memungkinkan mereka mendapatkan barang tersebut.

Banyak usaha dilakukan oleh pemuda-pemuda di kampung itu untuk memiliki motosikal itu tetapi semuanya gagal. Namun antara mereka semuanya tidak pernah berputus asa semata-mata untuk memenuhi keinginan mereka.

Satu kejadian yang tidak diduga berlaku yang menyebabkan Roy akhirnya insaf. Ditambah pula dengan kehadiran datuknya dan orang-orang kampung yang tidak pernah jemu memujuknya berubah. Namun apa pula yang berlaku kepada dua beradik, Kai dan Adik? Ikuti kesudahannya di TV1.

Ruang komen

Please enter banners and links.

URTV
News Reporter
error: Content is protected !!