Minyak wangi nama sendiri, ZAITON TAK RALAT

TIDAK ralat. Terpaksa melaburkan wang yang bukan sedikit( hasil simpanan  aktif menyanyi  sejak 2015), tidak membuat penyanyi dan pelakon Zaiton Sameon terkilan hati.

“ Dah lama saya teringin nak punya minyak wangi sendiri…syukur akhirnya lahirlah, haruman Zaiton Sameon.  Sebelum ini bila membaca berita  kawan-kawan  artis tempatan ada minyak wangi sendiri seperti  Datuk Seri Siti Nurhaliza.  Erra Fazira, Siti Fairuz, Aiman Tino dan lain-lain, saya   mampu tumpang gembira.

“ Di luar negara, ramai artis yang dah melibatkan diri dalam perniagaan ini,  nama-nama besar terkenal  antaranya Paris Hilton, Britney Spears malah legenda Elizabeth Taylor.  Jadi sebab itu,  saya terharu bila sekarang dah  ada minyak wangi sendiri.

“Saya antara  pencinta perfume.   Koleksi kesukaan, antaranya  Beautiful  terbitan jenama antarabangsa  Estee Lauder.  Jadinya, apabila  akhir tahun lalu, ada hamba Allah  bertanya, apakah saya sungguh-sungguh ingin punya haruman sendiri? Ia bagai mengantuk disorongkan bantal.

“Walaupun  syaratnya, saya kena  berbelanja  sendiri, saya tak kisah. Maklumlah, tak ada penaja. Setelah berbincang dengan anak angkat saya dan kawan baik saya,  pengurus acara Syed Wafa,  saya bersetuju dengan cadangan tersebut,” pengakuan Zaiton Sameon secara eksklusif kepada URTV Online.

“Harga sebotol hanya RM60.00. Tunggu pelancarannya, insya Allah, Mac ini, “kata Zaiton Sameon.

“Kalau tak sekarang , bila  lagi? Saya pun dah nak masuk 62 tahun. Saya teruja bila  realitinya hari ini saya dah ada minyak wangi sendiri. Saya juga diberi peluang memilih bau dan bentuk botol dan sebagainya untuk minyak wangi Zaiton Sameon.

“Syukur awal tahun ini,  beratus botol  dikeluarkan dulu untuk tujuan  jualan dan promosi dengan kawan-kawan dan peminat-peminat. Agak mengejutkan, dalam masa beberapa hari mendapat sambutan baik sampai dah nak habis!

“Kini tengah  berusaha  untuk penerbitan seterusnya . Dalam pada itu, akan ada   bentuk botol baru juga.  Dijangka pelancarannya minyak wangi  Zaiton Sameon Insya  Allah, Mac ini,” cerita Zaiton Sameon secara eksklusif kepada URTV Online semalam.

Setelah mencuba bauan minyak wanginya itu semalam,  ternyata daya tahannya mencapai 8 hingga 10 jam. Malah makin lama makin sedap baunya. Dijangka akan ada dua lagi  haruman  yang bakal diperkenalkan  sesudah  yang  pertama bauan bunga-bungaan.

Zaiton Sameon juga  berharap tidak ada orang akan mempertikaikannya usahanya mengusahakan perniagaan ini.

“Saya nak ada kenangan punya produk nama sendiri dalam sejarah menjadi artis. Perjalanan seni saya semua tahu, penuh cubaan dan `warna warni’nya. Pernah menjulang populariti bila lagu Menaruh Harapan dapat sambutan ( tahun 1987)..

Show tak berhenti…hingga mampu beli rumah mewah, RM300,000 lebih pada waktu itu, kira  saya hebat.  Tapi apakan daya…setelah kemalangan jalan raya tahun Februari 1990 ( ketika dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur sesudah pertunjukan di Kuala Ketil, Kedah),  segala-galanya …habis. Anak tunggal  saya  ( hasil perkahwinan dengan bekas suami pertama), meninggal dunia dan sedikit demi sedikit wang  simpanan  dalam bank, susut. Lebih-lebih lagi bertahun saya tak boleh menyanyi.

“Keadaan kaki kiri saya pun tidak kuat macam dulu. Rumah yang terletak di pinggir bukit Taman Melawati,  terjual dan macam-macam peristiwa sedih telah saya lalui , lebih-lebih lagi, sesudah bertahun kedua-dua orang tua di Rembau meninggal dunia,” cerita Zaiton mengimbas  perjalanan hidupnya.

“ Alhamdulillah, mujur Allah lorongkan jalan saya bertemu sahabat baik macam Syed Wafa , Allahyarham Pak Engku dan anak angkat  saya, Ika Ismail serta rakan wartawan hiburan  di Kuala Lumpur yang sudi  dan tak jemu memberikan sokongan, agar saya meneruskan kemahuan terus menyanyi. Terima kasih URTV banyak menyokong saya dari dulu lagi.

“Syukurlah dalam masa  lima tahun lalu, banyak undangan menyanyi di sana menjadikan simpanan saya kembali pulih.

“Saya bahagia dengan kehidupan sekarang. dikelilingi insan-insan yang baik hati dan menyayangi saya, “tambahnya.

Apakah lagi hajat Zaiton  yang belum kesampaian dan ingin dilakukan sebelum memejamkan mata?

“Hajat selepas ini,  nak beli rumah dan kereta pula.  Selama ini menumpang kereta anak angkat ke mana-mana. Selain itu, sesudah pernah buat umrah saya teringin nak  buat haji.

“Kahwin? Saya tak mahu lagi. Cukuplah dua kali pernah kahwin sebelum mencipta nama yang dalam dunia hiburan, “katanya yang pernah menjadi isteri polis hutan (punya seorang anak) dan Datuk di Johor sebelum menjanda dan bercinta dengan  pekerja bank. Bagaimanapun, kehilangan  cinta  lelaki itu  sesudah terlantar kerana tragedi kemalangan.

Sama-sama kita mendoakan Zaiton Sameon menggapai impiannya dan menjalani kehidupan sejahtera  di dunia dan akhirat.

Solekan: Emel Ismail

Ruang komen

Please enter banners and links.

Huzz
News Reporter
error: Content is protected !!