Mia Ahmad Kembali Dalam Adaptasi Novel “Sara Kirana” di TV1

Pelakon cantik Mia Ahmad kembali membintangi drama bersiri yang diadaptasi daripada novel karya Ramlah Rashid bertajuk “Sara Kirana”disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) mulai 6 April ini, setiap Khamis hingga Ahad, pukul 7.00 malam di TV1.

Turut dibintangi pelakon Hafreez Adam, Jaslin Puasa, Eyka Farhana, Akmal Ahmad, Kuza, Rahhim Omar, Naffiz Zolkifli, dan Lia Natalia, kisah kecekalan hati wanita bangkit daripada kegagalan ini disiarkan 13 episod arahan Amie Maziah Abdul Rahim dan terbitan Suhan Movies & Trading Sdn Bhd.

Ikuti kisah perkahwinan Maisara dengan Zulfakar telah diaturkan oleh Hj. Salam dan Zulaika, ibu bapa Zulfakar kerana rupa Maisarah seiras dengan anak bongsu mereka Zaliza yang telah meninggal dunia. Kehadiran Maisarah dalam keluarga tersebut menjadikan penawar kepada pasangan suami isteri Hj. Salam.

 

Namun kehidupan suami isteri Zulfakar dengan Maisarah tidak ubah seperti tuan dengan pembantu rumah. Semua urusan yang dilakukan oleh Maisarah kepada suaminya tidak pernah dihargai malah sering dimarahi. Meskipun begitu, Maisarah tetap taat kepada suaminya dan tidak pernah melaporkan keburukan suaminya ketika ditanya oleh ibu mertuanya.p

Memandangkan Zulfakar tidak mencintai isterinya, dia mula menjalinkan hubungan semula dengan Elly iaitu bekas kekasihnya yang telah menjadi isteri orang. Perhubungan sulit pasangan ini bertambah intim kerana Zulfakar dan Elly bekerja di tempat yang sama.

 

Rumah tangga Zulfakar dengan Maisarah yang terus tidak bahagia. Dalam masa sama hubungan Zulfakar dengan Elly bertambah mesra. Elly terus mempengaruhi Zulfakar bahawa dia tidak sesuai memperisterikan Maisarah. Hingga satu hari Zulfakar menceraikan Maisarah.

Akhirnya Maisarah dengan dibantu oleh Zahrin, adik Zulfakar keluar dari rumah bekas suaminya. Sejak itu Zahrin kerap membantu Maisarah dan mengambil berat kebajikannya. Maisarah mula menulis novel mengisi masa lapangnya. Zulfakar masih terus menjalinkan hubungan intim dengan Elly yang masih bersuami. Ibu bapa Zulfakar yang baru pulang dari umrah terkejut mengetahui perceraian anak mereka. Justeru mereka mendesak Zulfakar rujuk semula dengan Maisarah. Zahrin juga turut berusaha memujuk abangnya tetapi masih gagal.

 

Zahrin melanjutkan pelajaran ke Australia setahun. Maisarah bertekad untuk berdikari memajukan dirinya. Dia diterima bekerja di syarikat penerbitan milik Adlin, bekas suami Elly. Maisarah kecewa karyanya diplagiat namun dia terus menulis. Adlin turut berkongsi masalahnya dengan Maisarah.

Zulfakar dan Elly berkahwin namun ada bibit persengketaan kerana Elly sibuk dengan urusan di luar rumah hingga mengabaikan Zulfakar. Dia mula menyesal dan teringatkan Maisarah yang selalu memberikan layanan baik kepadanya. Dalam masa sama Zahrin pulang dari Australia dan terkejut mengetahui abangnya berkahwin semula dengan Elly.

Maisarah mula mengubah penampilan diri dan menghasilkan banyak novel terbaharu. Zahrin berusaha mencari Maisarah dan akhirnya bertemu di salah satu majlis pelancaran novel Sara Kirana yang dihasilkan oleh Maisarah. Zahrin memujuk supaya Maisarah menerimanya sebagai teman hidup yang baharu tetapi Maisarah tidak selesa kerana dia pernah menjadi kakak ipar kepada Zahrin.

 

Ketika itu Zulfakar dan Elly sering bertengkar kerana masing-masing tidak sehaluan. Zulfakar lebih banyak berada di rumah, sementara isterinya Elly selalu keluar rumah. Apabila Zahrin mengumumkan dia hendak berkahwin dengan Maisarah, kedua ibu bapanya terkejut dan tidak setuju dengan cadangan tersebut. Namun akhirnya mereka pula yang cuba memujuk Maisarah menerima Zahrin sebagai suami.

Zahrin dan Maisarah dikahwinkan dalam satu majlis yang meriah. Zulfakar sebagai bekas suami Maisarah cemburu dan menyesal kerana menceraikan Maisarah untuk beristerikan Elly. Elly pula sering keluar berfoya-foya di luar tanpa menghiraukan suaminya. Ketika itu Zulfakar mula mengganggu Maisarah ketika Zahrin menghantar isterinya ke rumah orang tua mereka apabila Zahrin sebagai doktor terpaksa bekerja waktu malam. Meskipun begitu, Maisarah tetap tidak melayaninya dan memaklumkan kepada Zulfakar supaya menghormati suaminya.

 

Satu hari Zahrin kemalangan dan koma. Maisarah setia menunggu di hospital. Zulfakar banyak membantu Maisarah yang sarat mengandung membuatkan Elly cemburu. Begitu juga Zahrin yang sudah sedar dan kini terpaksa menggunakan kerusi roda di rumah. Zahrin masih perlu ke hospital secara berkala untuk rawatan susulan fisioterapi dan dihantar oleh Zulfakar.

Zahrin merasa cemburu apabila Maisarah lambat pulang dari tempat kerja. Zulfakar pula sentiasa mencari kesempatan untuk menemui Maisarah sehingga dia pernah berusaha mendapatkan buah delima yang diidamkan oleh Maisarah yang sedang mengandung. Tindak tanduk Zulfakar menimbulkan perasaan cemburu yang lebih kuat daripada Zahrin terhadap isterinya yang selalu dijagai oleh abangnya yang juga bekas suami isterinya itu. Lalu apakah kesudahannya?

 

Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.

Ruang komen

Please enter banners and links.

URTV
News Reporter
error: Content is protected !!