Mengapa sampai hari ini Fauziah Datuk Ahmad Daud tak kahwin-kahwin?

APABILA filem SUARA KEKASIH lakonannya sekitar pertengahan 80an diputarkan semula oleh stesen RTM ( TV2) malam 9 September baru-baru ini, ramai peminat- peminat terdahulu dan sekarang,  memberi komen di laman sosial mengenai kisah cinta terhalang dua insan berlainan kedudukan  di dalam filem itu.

Ramai mengakui filem tersebut antara lakonannya yang hebat dan meninggalkan kesan di hati.

Ada mengaku, sampai menangis sama  di depan televisyen.  Barangkali mengalami pengalaman cinta tak kesampaian  juga?

Dalam pada itu, ada peminat melontarkan soalan apa kah cerita dalam filem itu,  bersandarkan kisah benar Fauziah Datuk Ahmad Daud  apabila ada mendakwa kononnya Suara Kekasih  lakonannya bersama-sama aktor Allahyarham Azmil Mustapha, Datin Rosnani Jamil dan lain-lain itu,  mengambil ilham cinta pertamanya  suatu ketika dulu.

“Saya tak menontonnya di TV malam tadi.  Tak tahu pun RTM menayangkannya. Saya terkejut  dan hairan  bila banyak  soalan dan pertanyaan masuk ke  telefon bimbit daripada  kawan-kawan dan mereka yang menontonnya,” katanya ketika dihubungi URTV.

“Saya setuju kalau ada mengatakan filem itu ada kisah benar dan fiksyen (rekaan).  Namun kalaulah saya  menonton filem itu di depan TV, mungkin bagai membawa  kembali kepada kisah cinta pertama dalam hidup,” katanya yang mengakui, semua orang ada kisah cinta pertama masing-masing.

“Dan tentu tak ada sesiapa boleh melupakan cerita cinta pertama berbanding cinta sesudah itu ,” katanya.

Tambahnya, “Dan mengapa sampai hari ini saya tak kahwin-kahwin lagi?  Itu kerana belum ada jodoh saya,” kata pelakon ini  menjawab soalan URTV, mengapa tak  berkahwin setelah bercerai dengan aktor Eman Manan lebih 10 tahun lalu.

Majalah URTV edisi Mac 1991 yang menampilkan perkahwinan Fauziah dan Eman Manan

Fauziah berkahwin dengan pelakon dari Terengganu- Eman Manan pada 1990 dan bercerai setelah menjalani kehidupan berumah tangga selama 12 tahun, enam bulan  dan lapan hari!

Eman Manan melafazkan cerai pada 2 Julai 2003.

“Allah belum memberikan imam untuk Fauziah lagi,” ujarnya membawa maksud belum ada jodoh bertemu dengan  lelaki yang boleh membimbingnya ke syurga.

Fauziah atau nama glamornya Ogy  tidak patah semangat meneruskan hidup kerana menyedari seseorang yang bergelar bintang itu tidak semestinya sentiasa ceria di depan kamera. Jalur kenangan pahit manis menjadikan dirinya lebih kuat.

“Kini saya bahagia dengan anak saya ( Nur Aminah) yang sudah meningkat remaja belajar di sebuah sekolah antarabangsa,” ceritanya tentang anak cerdik yang dibela sejak kecil.

Aktres yang pernah bergelar Primadona filem Melayu 80an juga tetap dengan pendiriannya tak mudah jatuh cinta dan jenis  tidak sewenang-wenang melayan cinta mana-mana lelaki, jauh sekali yang datang daripada suami orang.

Khabarnya selepas bercerai hatinya seperti tidak terbuka untuk bercinta lagi mahupun kembali rujuk dengan aktor yang masih aktif berlakon itu.

MIMPI PELIK

APABILA ditanya apakah pula pengalaman  tak boleh dilupakannya tentang tahun ini?

Jawabnya, “Saya bermimpi empat kali  dengan orang yang pernah saya kenal. Pertama, dia datang dalam mimpi dalam keadaan bersedih. Tak tahu kenapa? Kemudian mimpi kedua,  dia datang dengan penuh senyuman pula, mimpi ketiga dia datang memandu kereta besar, ajak saya naik keretanya dan mimpi keempat dia datang  jumpa saya dan  kami makan-makan,” ceritanya.

Namun siapa kah lelaki dalam mimpi itu. Katanya cukuplah hanya penulis sahaja yang tahu.

“Tak tahu pula…apakah alamat mimpi itu?” ujarnya.

Semoga ada yang baik-baik sahaja akan hadir dalam kehidupannya yang masih aktif berlakon dan mengusahakan perniagaan resipi  beberapa menu masakan arwah ibunya ( seniwati Allahyarham Saadiah) bersama-sama kakaknya.

PINGAT DATUK

DITANYA  juga mengenai ramai artis popular mendapat pingat membawa gelaran Datuk,  anak seniman Allahyarham Datuk Ahmad Daud ini berkata , “ Saya harap Puan Habsah Hassan yang banyak jasanya dalam menulis lirik dan menerbitkan filem dan drama, wajar diberi gelaran itu.”

Apa pun, sebagai pelakon, produser malah orang yang banyak menaburkan jasa dalam dunia hiburan,  Fauziah Datuk Ahmad Daud tidak wajar diketepikan kalau ada usaha  pihak tertentu mahu menghargai jasa artis. Apatah lagi,  mereka yang   masih `baru’ dalam dunia hiburan sudah ada  dipanggil Datuk.

Ruang komen
Huzz
News Reporter