Melayu jangan gaduh, DATUK HATTAN tak berpolitik

Foto: Fairuz Izyana Ayub

“SAYA tak mahu dan tak pernah menaruh minat untuk menjadi ahli politik, baik sekarang ataupun suatu hari nanti. Namun berharap hak dan kesejahteraan orang-orang Melayu terus dijaga dengan baik.

“Sebagai orang Melayu , saya nak tengok bangsa ini hidup bersatu padu. Janganlah berpecah belah. Bukankah Melayu itu serumpun, sebangsa dan satu kepercayaan (Islam)? Kita ada pegangan!

“Kalau mengerjakan umrah dan haji pun yang lelaki dalam pakaian ihram yang sama. Apalah untung bergaduh-gaduh? Bercakaran dan bermusuh-musuhan, tak ada gunanya!,” tegas penyanyi Datuk Hattan  atau  Mohd Shukri Shahabudin kepada URTV.

Katanya, sebab itu, dia hadir dalam program Penyatuan Ummah  di Pusat Dagang Dunia Putra, dianjurkan oleh parti Umno dan Pas, pertengahan September tahun ini.

“Saya gembira usaha mahu menyatukan ummah sesama Melayu dan Islam di negara ini. Jauhi sikap iri, dengki . Kalau ada yang berlainan soal sesuatu pendapat mengapa perlu mahu bermusuh-musuh?,” nasihatnya.

Hattan  berharap golongan artis Melayu janganlah menjauhkan diri apabila ada majlis-majlis bertujuan murni meneguhkan bangsa majoriti negara ini.

“Datang menyokong dan bersama-sama mengeratkan silaturahim,” katanya.

Terbaharu di Stadium Malawati, diadakan pula Perhimpunan Kongres Maruah Melayu Amanat Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang akan dihadiri oleh lebih 8,000 orang Melayu termasuk juga dari pemimpin dan penyokong Pas dan Umno pada Ahad, 6 Oktober ini.

Datuk Seri Siti Nurhaliza antara artis yang  dijadualkan, hadir.

“Harap kongres itu dapat `membuahkan’ sesuatu yang baik untuk Melayu. Bagaimanapun, saya  tak dapat hadir disebabkan ada urusan dengan ibu di kampung,” ujarnya.

Ada Apa dengan Bob Lokman?

PADA  petang 4 Oktober  ini,  sebuah lagu yang indah dengan lirik menyentuh hati bakal dilancarkan Hattan untuk peminat-peminatnya.

“Lagu ini amat istimewa kerana  saya mahu mengenangkan seorang anak yang taat pada keluarga. Dia telah meninggal dunia pada usia muda, 25 tahun.

“Lagu 5 Oktober dedikasi saya kepada Allahyarham Adam Hakim.

“5 Oktober ini, genap setahun  dia pergi selama-lamanya. Adam, bukan orang lain bagi saya kerana saya dah kenal dengannya, sejak usianya masih kecil lagi. Dia ialah anak sahabat saya, penulis lirik terkenal Bob Lokman yang pernah menulis banyak lagu-lagu popular antaranya Taman Rashidah Utama ( Wings) Pada Syurga di WajahMu ( Lefthanded) tak lama dulu,” cerita Hattan.

“Saya yakin liriknya akan lebih dekat melalui lagu ini. Tentang arwah Adam, anak sulungnya, saya dan isteri tahu arwah sudah menjalani pembedahan kerana ketumbuhan dalam kepala dulu.

“Tak sangka setelah jatuh dan rebah tahun lalu , Adam meninggal dunia disebabkan masalah tumor yang  masih ada.

“Sesudah kematian Adam, saya dan isteri bersedih…hinggakan apabila lagu baharu saya yang disiapkan Jaybon pada tahun lalu, buat saya terfikir mengapa tidak mengisahkan tentang pemergiannya?

“ Syukurlah, kemahuan saya mahu  Bob menulis, diterima. Syukurlah Bob sudi melakukannya. Cuma beliau meminta tidak memuatkan sebarang gambar- gambar Allahyarham Adam Hakim dan pusaranya dalam pembikinan video klip lagu.

“Memadai hanya tulisan pada  videonya nanti  merujuk yang lagu ini  ditujukan untuk Adam Hakim,”cerita Hattan.

Dalam pada itu,  Huzz nak memberitahu di sini,  ramai yang menyangka Bob juga penulis lirik Fantasia Bulan Madu (Search), bagaimanapun tulisannya untuk lagu hits band rock itu ialah  IsabellaFantasia Bulan Madu ialah lirik M. Nasir.

Fenomena kedua-dua lagu Search untuk sangat kuat dan masih bertahan popular sehingga ke hari ini.

Maaf, sebab Huzz pun  tertulis (tak disengajakan),  judul Fantasia Bulan Madu (Search) lirik oleh Bob  (dalam cerita Hattan pada back cover Panca Indera bertarikh 29 September 2019).

FEBRUARI 2020

SELAIN single terkininya pada  5 Oktober Datuk Hattan juga menantikan kehadiran bulan Februari tahun depan untuk `kejutan’nya yang telah  lama dalam dunia hiburan sejak pertengahan 80an!

Aku Hattan Kau Sifu adalah konsert saya menghargai sifu Datuk M. Nasir pada hujung bulan itu.

“Insya Allah akan dipentaskan di Dewan Merdeka PWTC. Dijadualkan lebih 20 lagu akan dipentaskan dalam konsert yang ada `jalan cerita’nya nanti.

“Tidak menyanyikan lagu-lagu popular saya dari awal kemunculan Memburu Rindu tapi konsert ini ada cerita dan dramanya di pentas,” katanya yang juga bakal muncul di Dewan Fillharmonik, November ini untuk mempersembahkan beberapa buah lagu dalam acara sepentas dengan Hazama dan Lan Typewritter.

Ruang komen
Huzz
News Reporter