MAWAR RASHID dan SYAFIE NASWIP dalam drama bersiri AURORA AISYAH

Drama bersiri kekeluargaan sarat dengan konflik bertajuk “Aurora Aisyah” arahan pengarah terkenal Raja Ahmad Alauddin disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) mulai 1 Februari ini, setiap Isnin hingga Jumaat, pukul 3.05 petang menerusi saluran TV1.

Ia menampilkan lakonan mantap Syafie Naswip, Esma Daniel, Mawar Rashid, Erwin Dawson, Liza Zain, Daniella Sya, Hanis Kamal Bakar, Mandy Chong, Wu Guang Chuan, dan Fauziah Nawi mengisi 26 episod siarannya.

Ikuti perjalanan cerita perhubungan di antara satu keluarga Melayu dan satu keluarga Tionghua yang menetap di sebuah kampung. Mereka menjalani kehidupan harmoni malah Zafran mula bekerja di kebun Ah Chong. Siew Lee berminat pada Zafran dan mahu mendalami Islam. Dia cuba mempelajari agama Islam daripada ibu saudaranya, Soo Ling (Ain) yang telah memeluk agama Islam. Siew Lee mula membaca buku panduan bersolat yang diberikan oleh Ain. Ah Chong sedar mengenai perkara ini dan tiada halangan kepada perhubungan di antara anak perempuannya dengan Zafran. Sebaliknya ibu Siew Lee, Bak Ee menentang keras dan mahu memisahkan kedua-dua remaja ini.

Siew Lee sentiasa dimarah oleh ibunya, Bak Ee kerana persahabatannya dengan Zafran. Bermacam cara dilakukannya untuk memisahkan hubungan mereka. Siew Lee sedih dan ayahnya turut berasa susah hati melihat anaknya dalam keadaan begitu. Ain berjumpa dengan Siew Lee untuk membincang mengenai masalah yang dihadapinya.

Siew Lee pula mencadangkan kepada Zafran supaya mereka berkahwin. Zafran membincangkan perkara ini dengan ibunya, Biah, dan mendapat restunya. Dengan bantuan Ain dan suaminya, Siew Lee memeluk agama Islam secara rasminya menukar nama kepada Aisyah. Zafran dan Aisyah melangsungkan perkahwinan secara rahsia.

Selepas lima bulan Aisyah disahkan mengandung dan perkara itu dihidu Bae Ee yang kemudiannya mengamuk besar setelah menemui dokumen berkaitan dengan pertukaran agama dan perkahwinan Aisyah. Bak Ee membuat helah untuk membawa Aisyah ke kedai sinseh untuk mendapat ubat bagi Aisyah. Niat Bak Ee sebenarnya ialah untuk membelikannya ubat bagi mengugurkan kandungannya. Aisyah terdengar perbualan Bak Ee dengan sinseh pada saat terakhir tetapi masih sempat melarikan diri dari kedai itu ke rumah Biah, ibu mentuanya.

Bak Ee kemudiannya membuat helah dan berjaya memujuk Aisyah untuk melahirkan anak di rumah mereka. Dia akhirnya berjaya mengurung Aisyah. Tanpa bantuan sesiapa Aisyah melahirkan anak kembar diberi nama Eryna dan Eryman. Aisyah tidak berjaya diselamatkan dan meninggal dunia. Bae Ee benar-benar kecewa dan menyerahkan cucu-cucunya kepada Biah. Selepas itu, dia dan suaminya memindah barang-barang rumah dan meninggalkan kampung itu.

Masa berlalu dua beradik itu sudah dewasa. Eryna menyara keluarga sebagai tukang jahit dan bekerja dari rumahnya. Eryman pula menuntut di Universiti. Sementara itu, Zafran diserang angin ahmar dan lumpuh separuh badan. Beliau tidak dapat bercakap dan sentiasa duduk di kerusi rodanya.

Selepas menerima ijazah Eryman ingin bekerja dan tinggal di bandar. Eryna berhasrat untuk berhijrah ke bandar bersama-sama Eryman tetapi tidak direstui oleh nenek mereka, iaitu Biah kerana tidak berminat untuk meninggalkan kampung. Pada satu hari semasa Biah masuk ke bilik air untuk memandikan Zafran mandi, beliau terjatuh dan meninggal dunia.

Eryman dan Eryna berjumpa dengan Pak Abu dan cuba mendapat maklumat mengenai datuk dan nenek sebelah ibunya. Mereka teringat kembali kepada apa yang diberitahu mengenai mereka oleh Biah. Mereka teringin untuk berjumpa dengan mereka atau mana-mana ahli keluarga tetapi maklumat yang diterima adalah begitu kurang dan tidak membantu. Akhirnya mereka berdua berpindah ke bandar dengan membawa ayah sekali. Apabila sampai di bandar mereka sempat bertemu dengan Sherry, kekasih Eryman. Sherry tidak puas hati dengan tindakan Iriman membawa ayahnya yang lumpuh dan adik perempuannya ke rumahnya di bandar.

Eryman bekerja dengan syarikat milik ayah Sherry. Eryman dan Sherry kemudiannya berkahwin setelah mendapat restu ayah Sherry. Sherry berpura-pura melayan bapa mentua dan adik iparnya dengan mesra. Sherry mengandung dan sikapnya semakin teruk. Sherry menyiksa Eryna dan kebetulan Dr Afiq yang datang ke rumah untuk merawat Zafran ternampak tindakan zalim Sherry pada Eryna.

Pada satu hari, Eryna mengelap lantai. Eryna memberitahu Sherry supaya berhati-hati kerana lantai masih licin. Sherry tidak mengendahkan perkara ini dan beliau tergelincir dan jatuh. Kejadian ini menyebabkan Sherry mengalami keguguran. Sherry mengambil kesempatan menyalahkan Eryna atas kehilangan anak yang dikandung itu. Apabila Eryman melihat keadaan trauma Sherry, dia terus mengamuk dan menghalau Eryna dari rumah.

Eryna yang berkeliaran di bandar akhirnya tertidur di restoran kepunyaan Ah Chong dan Bak Ee. Dia  dihalau oleh Bak Ee tetapi dipujuk oleh Ah Chong supaya tidak bertindak kasar padanya. Pada masa itu, seorang lelaki meragut beg tangan Bak Ee dan melarikannya. Eryna mengejar peragut itu dan dengan bantuan seorang lelaki lain berjaya menangkap serta mendapatkan beg Bak Ee. Ah Chong dan Bak Ee berterima kasih kepada Eryna dan menawarkan pekerjaan di kedai mereka serta memberikannya tempat tinggal sementara di rumah mereka.

Sementara itu, Eryman melihat keadaan ayahnya yang sedih dan merindukan Eryna mula menyesal atas tindakannya untuk menghalau Eryna dari rumah. Beliau dan Dr. Afiq berusaha untuk mencari Eryna di sepanjang jalanjalan di bandar itu.

Bagaimana pula dengan ladang mereka yang diancam kehadiran pemaju tersebut? Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.

Ruang komen
URTV
News Reporter
error: Content is protected !!