Martabat busana Melayu, AWIE cabar peminat datang gaya Melayu Klasik pada Konsert Laksama Metal 2019

Foto: AIZZUL A.MAJID

Bakal berlangsung pada 4 Mei 2019 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Konsert Laksamana Metal 2019 Dua Generasi Wings x Bunfaceyang akan menampilkan kolaborasi band legenda, Wings bersama Bunkface akan menampilkan sesuatu yang berlainanan daripada konsert lain.

Selain gandingan band lama dan baru, konsert dianjurkan oleh Awie Entertainment itu juga akan mengetengahkan konsep busana dan juga rekaan pentas dengan tema Melayu Klasik.

Menurut pengarah Awie Entertainment, Datuk Awie, konsert ini adalah sesuatu yang baharu dengan mengetengahkan muzik rock berlatarkan elemen Melayu klasik

“Keunikan konsert ini adalah kami akan memartabatkan budaya dan khazanah Melayu kita ke atas pentas dengan menggayakan busana Melayu klasik.

“Lagu dan muzik, semua sudah ikut-ikutan. Apa yang tinggal pada budaya Melayu? Jadi ini lah budaya Melayu yang tinggal iaitu pakaian.

“Kami akan mengenakan pakaian ini di atas pentas untuk menunjukkan kita adalah anak Melayu walaupun memainkan irama dan muzik yang dipinjam budaya lain.

“Saya juga mencabar penonton untuk hadir berpakaian seperti kami. Kami tidak memaksa. Siapa yang berani silakan. Mungkin ada sesuatu menanti anda.

“Selain busana, kami juga akan tampil dengan set pentas yang sangat unik dan istimewa. Tujuan kami membuat kelainan ini adalah kerana mahukan sesuatu yang berbeza dengan konsert-konsert sebelum ini.

“Asal konsert set, lighting dan bunyi semuanya yang sama. Kami nak bagi sesuatu yang segar untuk penonton,” cerita Awie semasa sidang media ‘Look & Feel’ Konsert Laksamana Metal 2019 Dua Generasi Wings x Bunface di PWTC baru-baru ini.

Tambah Awie, konsert ini merupakan siri pertama perjalanan Konsert Wings ke arah 35 tahun yang akan dilaksanakan di seluruh Malaysia.

“Untuk permulaan kami muncul dengan konsert bersama Bunkface. Selepas ini banyak lagi band-band Malaysia yang ternama akan bersama kami di lokasi konsert lain pula.

“Wings yang bakal berusia 35 tahun dan Bunkface (12 tahun) tahun depan dalam industri bakal berkongsi pengalaman di atas pentas dengan dua tenaga yang berbeza dan tunjukkan sesuatu yang diluar jangkaan.

“Mungkin kami akan menyanyikan lagu mereka dan mereka menyanyikan lagu kami. Itu semua mungkin terjadi sebagai satu kejutan kepada penonton.

“Selepas konsert pertama ini, kami merancang untuk bawa Konsert Laksamana Metal ke Pulau Pinang, Batu Pahat Jengka dan kembali ke Kuala Lumpur,” kata vokalis kumpulan Wings ini.

Tiket Konsert Laksamana Metal 2019 Dua Generasi Wings x Bunface dijual pada harga RM150 (berdiri) dan RM450 (tempat duduk bernombor). 1000 pembeli tiket berdiri akan menerima cenderahati istimewa manakala pembeli tiket duduk bernombor pula akan dapat menyaksikan sesi soundcheck, jamuan minum petang dan juga cenderahati istimewa.

Bagi yang ingin mendapatkan tiket boleh membuat tempahan tiket menerusi agen Sayap-sayap Wings atau pembelian terus di kaunter tiket pada 1 hingga 4 Mei 2019.

Untuk maklumat lanjut mengenai konsert ini dan pembelian tiket boleh rujuk di laman sosial rasmi Wings iaitu Instagram: @sayap2wings Facebook: Sayap-sayap Wings

Ruang komen

Please enter banners and links.

Tajul Ariffin
News Reporter
error: Content is protected !!