Makin popular…Andi Bernadee tak mahu terlalu selesa

Foto: Amir Hafiz Abd Rahman & Mohd Farizwan Hasbullah

Tidak mengenal erti putus asa dan cekal dalam menempuhi cabaran sebagai anak seni membuahkan hasil buat penyanyi yang kini semakin meningkat populariti, Andi Bernadee.

Nama Andi semakin menitip dibibir orang ramai dan peminatnya pun kian bertambah. Bukan sahaja yang muda malah yang tua juga meminati dirinya.

“Alhamdullilah saya bersyukur dan seronok dengan apa yang saya perolehi setelah beberapa tahun bekerja keras. Tapi secara jujurnya saya masih belum boleh berpuas hati dengan pencapaian setakat ini.

“Saya takkan ada rasa puas dalam diri saya jika ianya berkaitan dengan dunia seni. Kita tidak akan rasa puas jika kita buat sesuatu yang kita minat.

“Walaupun kerjaya nyanyian berada dalam keadaan yang baik, saya tak mahu rasa terlalu selesa kerana industri semakin berkembang dan persaingan pun bertambah sengit.

“Dalam industri ini siapa yang berusaha lebih maka dia akan memperoleh kejayaan. Oleh itu, saya harus berusaha lebih gigih untuk kekal dalam industri ini,” kata Andi.

Tambah Andi, walaupun perlu bersaing dengan penyanyi-penyanyi lain, dia tidak mengeluh malah menganggap persaingan yang ada bagus untuk kerjayanya.

“Bagi saya persaingan yang ada sekarang amat bagus kerana bila ada saingan, saya akan dapat bekerja dengan lebih keras dan mampu meningkatkan diri untuk menjadi penyanyi yang lebih berjaya.

“Tahun ni memang saya sibuk sangat dengan kerjaya. Tapi saya tak pernah mengeluh atau merungut kerana semua ini adalah rezeki daripada Allah dan saya suka dengan suasana sibuk dengan kerja ini.

“Jadi saya perlu bersyukur kerana mungkin lepas ini saya tak dapat peluang-peluang seperti ini. Oleh itu saya perlu paksa diri untuk bekerja kuat kerana dapat semua peluang ini,” cerita Andi.

Lagu Satu Peluang merupakan lagu yang melonjakkan nama Andi. Disebabkan lagu ciptaan Alif itu mendapat yang sangat luar biasa, Andi muncul dengan single terbaharu dengan konsep dan genre yang sama berjudul Donde.

“Setelah sekian lama mencuba nasib untuk menempatkan diri sebagai penyanyi, akhirnya saya jumpa genre lagu yang sesuai dengan saya iaitu lagu berentak ‘reggaeton’ dan rancak.

“Alhamdulillah, single terbaru, Donde yang mengetengahkan konsep dan genre yang sama dengan lagu sebelum ini turut dapat sambutan yang baik daripada peminat.

“Insya Allah, tahun ini saya akan muncul lagi dengan lagu berentak reggaeton. Sudah banyak demo yang saya terima dan masih dalam proses memilih lagu yang sesuai untuk single seterusnya,” kata Andi.

Ruang komen
Tajul Ariffin
News Reporter
error: Content is protected !!