Luahan BEN ALI tentang ELLIE SURIATY , NAJIB RAZAK & BAHASA MELAYU

Pelbagai reaksi negatif dan positif di kalangan peminat apabila aktres Ellie Suriaty Omar membuat provokasi di Mahkamah Tinggi, Jalan Duta, ketika proses dakwaan Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung kes SRC International Sdn. Bhd. pada Rabu minggu lepas (4 Julai 2018).

Pelakon kacak yang juga Exco Armada Nasional, Ben Ali turut terpanggil untuk meluahkan pendapat peribadinya.

Cerita Ben Ali, “Saya kira ini kali pertama saya menulis selepas pasca Pilihanraya ke-14 .

” Terpanggil untuk saya menulis adalah kerana tertarik dengan beberapa kenyataan yang dibuat oleh Ellie Suriaty , seorang pelakon senior yang hebat .

“Saya tidak mengenali beliau secara peribadi , namun saya pernah beberapa kali berkerja bersama suami beliau , Azri Iskandar. Saya menghormati beliau dan begitu juga Ellie Suriaty.

“Namun , ada beberapa perkara di sini yang ingin saya ulas mengenai kenyataan kenyataan yang dikeluarkan oleh Ellie Suriaty.

“Pertama , isu peguam negara menggunakan Bahasa Inggeris .

“Seperti mana rakyat Malaysia berbangsa Melayu yang lain, sudah tentu saya juga kurang bersetuju dengan penggunaan Bahasa Inggeris oleh peguam negara yang baru dilantik tersebut .

“Walaupun berada di pihak pro kerajaan ketika ini , bukan bermaksud kami bersetuju dengan segala apa yang berlaku . Jika dilihat pada hari ini , kerajaan baharu lebih terbuka untuk dikritik dan kritikan itu bukan sahaja hadir dari pihak pembangkang . Malah juga hadir dari pihak yang Pro Kerajaan juga. 

“Budaya ini perlu diteruskan agar kita sama sama dapat membentuk satu budaya politik yang baharu di dalam Malaysia Baru.

“Akan tetapi , tatacara untuk menegur itu perlu tampak lebih matang . Adalah tidak wajar jika kita meninggikan suara di dalam kawasan mahkamah , lebih-lebih lagi seperti yang kita sedia maklum . Mana-mana mahkamah pun dalam dunia ini mempunyai tatatertib yang perlu diikuti dan dihormati .

“Jika benar mahukan Peguam Negara menggunakan Bahasa Melayu , lakukanlah menerusi saluran yang betul dan bukannya membuat kecoh di Mahkamah ketika hari sebutan atau pembicaraan. 

“Keadaan ini bukan sahaja akan menimbulkan kekecohan di Mahkamah , malah imej kita akan tampak buruk di mata dunia kerana puluhan media antarabangsa juga turut berada disana membuat liputan.”

Memartabatkan Bahasa Melayu 

“Soal penggunaan Bahasa Melayu ini amat dekat dengan orang Melayu itu sendiri. Jika hendak menyentuh tentang Peguam Negara yang bukan datang dari kalangan Bangsa Melayu itu sendiri,  kita sepatutnya perlu lihat sekeliling kita yang saya rasakan lebih perlu dititik beratkan. Adakah pada hari ini Bahasa Melayu itu diangkat dan dijulang oleh bangsa Melayu itu sendiri ?

“Berapa ramai anak kecil berbangsa Melayu pada hari ini tidak boleh bertutur dalam bahasa Melayu dengan fasih? Ini kerana amalan mendidik dan mengutamakan bahasa asing sudah mula menular di kalangan masyarakat Melayu di bandar.

“Ibu bapa juga lebih gemar bertutur menggunakan bahasa Inggeris dengan anak anak mereka sehinggakan tahap penguasaan bahasa Melayu anak mereka amatlah lemah sekali.

“Hal ini berlaku di sekeliling kita dan kita tidak boleh menidakkan bahawa perkara ini semakin menjadi kebiasaan bagi yang menetap di bandar.

“Justeru , saya kira adalah lebih baik kita cuba memperkasakan bahasa Melayu itu di peringkat akar umbi itu terlebih dahulu sebelum mahu menyentuh tentang mengapa peguam negara tidak menggunakan bahasa melayu.

“Sebelum kita mahu menegur peguam negara tidak bertutur dalam bahasa melayu , adalah lebih baik kita menegur rakan-rakan kita yang mengutamakan penggunaan bahasa Inggeris dalam kehidupan seharian mereka.”

Ben Ali menyokong penuh Malaysia Baharu yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad

Ellie Suriaty tidak hairan Najib simpan beratus juta di dalam rumah?

“Isu ini jika Ellie Suriaty tidak hairan , maka adalah wajar saya hairan dengan Ellie Suriati . Apakah wajar duit ratusan juta disimpan di dalam rumah ? Jika duit ini merupakan duit untuk kegunaan pilihan raya yang lepas . Apakah pada abad ini masih ada lagi yang menyimpan wang di bawah bantal ?

“Seperti yang kita sedia maklum , segala transaksi keluar masuk wang pada abad ini dilakukan menggunakan atau menerusi akaun bank . Malah telah wujud juga transaksi di atas talian ( online transaction) dan juga perbankan atas talian ( online banking ) yang diwujudkan untuk memudahkan para pengguna menyimpan dan memindahkan wang .

“Sekiranya duit rampasan tersebut yang bernilai ratusan juta adalah duit untuk kegunaan parti semasa PRU14 yang lepas . Mengapa ianya tidak berada dalam akaun bank UMNO pusat? Dan mengapa ianya berada di rumah bekas perdana menteri ? Apakah amalan ini merupakan amalan biasa bagi UMNO itu sendiri ? 

“Atau mungkinkah UMNO sebuah parti yang telah wujud lebih 6 Dekad masih belum mempunyai akaun bank dan mungkinkah cawangan-cawangan dan Bahagian-bahagian UMNO di seluruh negara juga tidak mempunyai akaun bank sehinggakan cara mengagihkan wang bagi tujuan pilihan raya perlu disimpan di rumah Presiden parti pada ketika itu?

“Saya kira Ellie Suriaty perlu mengambil kira faktor-faktor ini dahulu sebelum membuat kenyataan .

“Justeru , saya berharap sebelum beliau membuat apa-apa ulasan atau kenyataan selepas ini , perlulah beliau melakukan sedikit kajian terlebih dahulu.

“Namun , walau apa pun, saya ucapkan tahniah pada beliau kerana terus istiqamah dan tidak bermuka-muka dalam menyatakan sokongan beliau kepada pemimpin yang beliau rasakan pemimpin terbaik secara peribadi . 

“Semangat itu harus dipuji , disaat artis lain ramai yang mengambil pendekatan “membodek” dan menjadi “lalang” kepada kerajaan Baharu, beliau tampak terus Wala’ kepada bekas Perdana Menteri itu.”

Sekadar Menulis,

Ben Ali 

8 | 7 | 2018 

Exco Armada Nasional

Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

URTV
News Reporter
error: Content is protected !!