LEFTENAN ZANA ditonton 25.5 juta penonton

Siapa sangka percubaan berani JS Pictures Sdn Bhd mengusulkan sebuah jalan cerita berkisarkan ketenteraan mendapat sambutan hangat para peminat drama tempatan. Ini terbukiti apabila drama Leftenan Zana, lakonan Janna Nick berjaya meraih 11. 5 juta penonton, jumlah rating terkumpul sepanjang 16 episod sejak mula bersiaran 8 Februari lalu! Episod akhir pada 15 Mac lalu juga mencecah 4 juta tontonan!.

Lebih membanggakan lagi, jumlah terkumpul tontonan di laman Youtube @TV3Malaysia dan Drama Sangat Official juga mencecah 14 juta tontonan menjadikan secara keseluruhannya 25.5 juta mengikuti perjalanan Zana mengejar impiannya untuk menjadi anggota Angkatan Tentera Malaysia. (sumber Nielsen Audience Measurement).

Menurut Pengurus Besar, Pengurusan Jenama dan Rancangan TV3 & TV9, Puan Siti Nurlisia Mohd Nadzri, “Kami amat berterima kasih kepada para penonton atas sokongan tanpa henti walaupun ada mengatakan gimik pergaduhan di antara penerbit dan pelakon membantu menaikkan lagi jumlah tontonan drama ini. Tetapi jika jalan ceritanya tidak bagus, lakonan para pelakonnya tidak mantap tidak mungkin drama ini mendapat 22.5 juta tontonan secara keseluruhannya.

Penerimaan luar biasa penonton menerusi drama Leftenan Zana ini membuktikan TV3 tidak hanya menghidangkan kisah cinta untuk tatapan penonton. Terima kasih atas penerimaan yang sangat baik bagi genre drama sebegini dan kami akan berusaha untuk membawakan lagi pelbagai variasi drama menarik untuk anda di masa hadapan dan kekal sebagai stesen televisyen nombor 1 negara”.

Berakhirlah sudah perjalanan penuh liku Zanariah atau Leftenan Zana demi membuktikan dia juga boleh menjadi seorang anggota tentera yang hebat seperti bapanya, Mejar (B) Rahmat. Zana berjaya menamatkan latihan dengan cemerlang dan ditempatkan di Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) bersama Raz. Sarjan  Qamar yang dahulunya tegas kini mampu berbangga dengan pencapaian anak-anak didiknya. Kapten Hanif juga akhirnya berjaya memiliki Zana setelah lama memendam perasaan dan mengikat tali pertunangan dengan Zana.

Episod akhir drama ini juga berlainan, penonton dikejutkan dengan kematian Raz lakonan Tunku Hanis yang terkorban di lapangan. Jika di awal cerita, Raz dibenci kerana sikapnya tetapi di akhirnya, Raz membuatkan ramai penonton mengalirkan air mata. Kesemua pelakon memainkan peranan mereka sebaiknya dan itu menjadikan drama ini melekat di hati penonton.

Pujian buat kesemua barisan pelakon utamanya iaitu Janna Nick, Sheila Rusly, Redza Rosli, Tunku Hanis, Hairie Othman,  Sue Sophie, Nazrief Nazri, Zarul Husin, Aprena Manrose, Izzat Mushtaq, Ameerul Asyraf, Idzham Ismail, Annie Mosha, Ena Pakwan, Amalina Arham, pasukan anggota Angkatan Tentera Malaysia yang terlibat dan seluruh warga kerja yang telah membantu menjayakan Leftenan Zana.

Ruang komen
URTV
News Reporter
error: Content is protected !!