Lebih 300,000 Pengunjung Tawan  Stadium Negeri Batu Kawan, Pulau Pinang!

Orang utara memang happening! Walaupun cuaca panas terik, namun ia bukanlah penghalang orang ramai untuk mengunjungi Karnival Jom Heboh (KJH) anjuran TV3 yang telah berlangsung di Pekarangan Stadium Negeri Batu Kawan, Pulau Pinang pada hujung minggu lepas. Bermula dari pukul 10.00 pagi hingga 10.00 malam, lebih 300,000 pengunjung telah membanjiri acara padang ini.

Selain bertujuan mendekatkan para pengunjung dengan TV3, KJH yang ditunjangi oleh beberapa booth utama seperti Bananana! Land, Raudhah, Drama Sangat, Gelanggang #KitaJuara dan lain-lain lagi telah menawarkan pelbagai tawaran serta aktiviti menarik khas untuk riadah seisi keluarga.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Encik Johan Ishak, “Pejam celik, Karnival Jom Heboh sudah pun memasuki tahun yang keenam belas ia berlangsung, sejak dianjurkan buat pertama kali pada tahun 2003. Selain ingin mendekatkan lagi para penonton dengan kandungan-kandungan yang disiarkan di TV3, kami juga mempunyai objektif untuk berkhidmat kepada komuniti. Buat pertama kalinya, kami telah mendapat penyertaan daripada agensi seperti Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) serta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), dan ini telah memberi peluang kepada orang ramai untuk menyertai program-program yang disediakan oleh dua agensi ini.”

Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian TV Media Prima Berhad bersama Ahli Parlimen Batu Kawan, P. Kasthuriraani di booth Bananana

“Jutaan terima kasih kepada semua pengunjung yang telah hadir sejak awal pagi untuk beriadah bersama kami pada hujung minggu lepas, sokongan anda semua amat bermakna buat kami. Selain itu, kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak kerajaan negeri dan pihak berkuasa yang telah sama-sama membantu kami untuk menjayakan karnival ini. Bagi mereka yang tidak sempat untuk menghadiri karnival kali ini, jangan lupa untuk datang ke Kanival Jom Heboh seterusnya yang bakal berlangsung di Johor Bahru pada 26 dan 27 Oktober ini,” ujar Encik Johan lagi.

Pengunjung di booth Bananana

Seperti sebelum ini, booth-booth utama menjadi tarikan utama setiap kali KJH dianjurkan. Kesemua booth ini telah dibuka kepada pengunjung seawal pukul 10 pagi hingga 10 malam. Booth Bananana! Land yang sememangnya menjadi pilihan kanak-kanak telah menampilkan Harris Alif, Erynne Erynna, Aliff Yasraff dan Shah Sulaiman sambil melakukan pelbagai aktiviti menyeronokkan seperti mewarna, mempelajari seni reka dan berpeluang untuk bergambar bersama maskot Boboiboy dan juga Ejen Ali!.

Booth Raudhah yang berkonsepkan Islamik dan menyediakan pengisian kerohanian pula telah membariskan Da’i Fahmi, Da’i Amirul, Da’i Hadhari, Da’i Luqman, Da’i Hafiz, Da’i Afiqah, Ustaz Jafri dan Zul Handy Black. Antara tarikan utama booth ini adalah sesi kongsi bersama Zul Handy Black, di mana beliau telah berkongsi kisah dan pengalaman hijrah beliau selepas menerima hidayah untuk mendekatkan diri lagi dengan Allah S.W.T., walaupun beliau masih bergelar anak seni.

Para peminat drama-drama yang disiarkan di TV3 pula telah membanjiri booth Drama Sangat untuk bertemu dengan barisan pelakon popular seperti Daler Yusuf, Julia Farhana dan Chazynash. Selain itu, mereka juga berkesempatan untuk belajar berdandan dengan menyertai sesi makeup tutorial yang telah memberi tips-tips solekan, dan belajar memasak resipi-resipi mudah menerusi demo masakan oleh Cef Naem.

Para peminat drama-drama yang disiarkan di TV3 pula telah membanjiri booth Drama Sangat untuk bertemu dengan barisan pelakon popular seperti Daler Yusof, Julia Farhana dan Chazynash.

Bagi membantu mereka yang kurang bernasib baik, booth ini juga telah menjalankan aktiviti Lelongan Amal Tabung Bersamamu pada hari Ahad, pukul 4.00 petang hingga 5.00 petang.  Selebriti yang hadir telah melelong barangan mereka dan hasil jualan pula akan terus disumbangkan ke Tabung Bersamamu.

Syed Ali di Bazar Selebriti

Peminat tegar bola sepak pula telah mengunjungi gelanggang #KitaJuara yang turut menampilkan Faiz Tapaw, Idlan Bahrin, dan Eqbal Rahim. Pada hari Sabtu, kanak-kanak dan remaja yang berminat untuk belajar mengenai sukan bola sepak freestyle telah menghadiri Akademi Freestyle yang menampilkan freestyler Kita Juara pada pukul 4.30 petang selama satu jam. Perlawanan Street Soccer 3 lawan 3 Kita Juara pula telah diadakan keesokan hari bermula pukul 9.00 pagi, manakala perlawanan akhir berlangsung pada 6.30 petang.

Pada hari Sabtu, kanak-kanak dan remaja yang berminat untuk belajar mengenai sukan bola sepak freestyle telah menghadiri Akademi Freestyle yang menampilkan freestyler Kita Juara pada

Di samping itu, pelbagai cenderahati daripada Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad (TV3, ntv7, 8TV, TV9), Bananana!, dan Ejen Ali juga dijual kepada orang ramai di booth Wow Bag. Turut memeriahkan lagi carnival ini ialah Bazar Selebriti yang disertai oleh Zul Huzaimy, XPDC, Nadya Shaheera, Syed Ali, Janna Nick, Taleeb Mizad dan Shah Tapaw. Para selebriti ini menjual pelbagai jenis produk keluaran mereka yang dibawakan khas untuk pengunjung KJH.

Maskot Ejen Ali di booth Bananana

Lebih menarik lagi, KJH Pulau Pinang turut menerima kunjungan Ahli Parlimen Batu Kawan, P. Kasthuriraani sebagai tanda sokongan kerajaan terhadap program yang menerima sambutan hangat ini. Masyarakat yang hadir sejak awal pagi juga berkesempatan untuk bertemu dengan barisan personaliti TV3 seperti Ahmad Fedtri Yahya, Hazrena Kassim, Uyaina Arshad, Fiza Sabjahan, Anim Ezati, dan Hanif Miswan.

Acara kemuncak iaitu Konsert Hot Kool Jam & Konsert Jom Heboh telah berlangsung pada hari Sabtu dan Ahad, pukul 9.00 malam. Pada hari Sabtu, Konsert Hot Kool Jam telah mempersembahkan bintang-bintang seperti Lan Solo, Hazama, Zamani Slam, One Avenue Band & Kugiran Masdo. Manakala pada malam Ahad pula, Konsert Jom Heboh menampilkan AJ Azril (Mentor Otai), Black Hanifah, Kaka Azraff, Qody (Mentor Milenia) & XPDC.

URTV
News Reporter
error: Content is protected !!