Laku keras, perniagaan nasi dalca AZMIR RAJA LAWAK dapat sambutan

Ahli kumpulan Cuit dalam program Raja Lawak 6, Azmir atau Azmir Aziz luah rasa gembira perniagaan nasi dalca miliknya semakin maju dan mendapat sambutan hangat.

Perniagaan yang diberi nama Nasi Dalca Mamu Tanjong itu terletak di Ukay Perdana, Ampang dan telah beroperasi sejak tahun 2017.

Azmir berkata, akhirnya ramai yang sudah mula kenal dan menggemari Nasi Dalca Mamu Tanjong setelah berusaha gigih memperkenalkan dan mengusahakan perniagaan tersebut.

“Alhamdulillah..sambutan makin hari makin baik. Memang pada awalnya agak susah. Setelah setahun, akhirnya ramai yg dah mula kenal Nasi Dalca Mamu Tanjong.

“Selain pelanggan daripada masyarakat sekeliling, ada juga pelanggan yang datang dari luar seperti Kuantan, Negeri Sembilan dan banyak lagi negeri lain.

“Sekarang ni boleh dikatakan 50% pelanggan Nasi Dalca Mamu Tanjong adalah dikalangan orang-orang VIP seperti Datuk, Datuk Seti serta pegawai-pegawai tinggi PDRM dan ramai lagi.

“Pada awalnya memang susah niaga makanan ini sebab banyak persaingan. Tapi kelebihan saya adalah Nasi Dalca Mamu Tanjong sedikit berbeza dari makanan lain yg sedia ada.

“Kebanyakkan orang menjual nasi ayam, nasi goreng dan nasi berlauk. Tapi saya menyediakan nasi minyak serta dua jenis lauk sahaja iaitu ayam masak cabai dan daging masak hitam serta dalca citarasa orang utara.

“Sebenarnya idea nak berniaga ni dah banyak kali dan pelbagai perniagaan saya dah ceburi tapi semuanya gagal. 

“Sehinggalah saya berjumpa dengan seorang sahabat iaitu saudara Asri Janggut. Dialah yg banyak memberi saya semangat utk memulakan perniagaan makanan.

“Dia juga turut membekalkan peralatan permulaan untuk saya memulakan perniagaan supaya saya boleh mula berniaga dalam masa terdekat.

“Bercakap tentang resepi, sebenarnya resepi Nasi Dalca Mamu Tanjong adalah resepi emak saya. Dia (emak) juga berpesan kalau nak berniaga, saya dan isteri perlu masak makanan bagi sedap sepertimana kita makan dirumah.

“Masak ibarat masak dirumah dan jangan sesekali kurangkan bahan-bahan dlm masakan. Orang utara kata – kalau hang nak makan sedap, biaq orang pun makan yang sedap,” cerita Azmir.

Tentang kerjaya seni pula, Azmir akui kurang mendapat tawaran namun masih ingin meneruskan kerjaya dalam bidang tersebut jika diberi peluang.

“Walaupun sibuk berniaga, kerjaya dalam bidang seni memang saya tak pernah lupakan. Saya masih ingin teruskan dan tidak akan berhenti bergelar anak seni. Cuma saya agak kurang mendapat peluang dan jarang-jarang dapat job.

“Mungkin saya kurang mendapat tawaran kerana faktor usia, loghat ataupun mungkin saya tak popular dan tak dikenali seperti artis-artis lain.

“Masih tiada perkembagan terbaharu dalam dunia hiburan buat masa ini tapi insya Allah saya akan lakukan yang terbaik jika saya masih diberi peluang,” ujar Azmir.

Bagi yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang Nasi Dalca Mamu Tanjong, follow @azmircuit_rajalawak6 di Instagram.

Ruang komen
Tajul Ariffin
News Reporter
error: Content is protected !!