KONSERT SOUL SISTERS 2019 dapat sokongan   

Tiga penghibur popular, Misha Omar, Siti Sarah Raissudin dan Noryn Aziz kini sudah bersiap sedia untuk beraksi serta berkongsi pentas buat julung kalinya dengan sesuatu yang berbeza daripada pengalaman mereka bergelar anak seni.

Bakal muncul dalam Konsert Soul Sisters 2019 di Panggung Sari, Istana Budaya (IB) Kuala Lumpur pada 5 dan April depan, pastinya konsert dengan genre muzik Soul dan R&B ini dinanti-nantikan peminat.

Konsert diterbitkan oleh syarikat produksi persembahan – Edd Razhe Entertainment (ERE) ini telah mendapat sokongan daripada pelbagai pihak.

Baru-baru ini ERE dengan bangganya telah mengumumkan barisan penaja utama konsert bertaraf antarabangsa ini selain pengisian menarik konsert berkenaan kelak.

Selain AirAsia Berhad selaku penaja utama, konsert ini juga mendapat sokongan barisan penaja lain iaitu Suria FM, Stage Tech, Everbest Studio, DoubleTree Hilton, SHF Skyfood Services, 3 Birds Inc, Laurea Home Furnishing, Crap TV, Salad Atelier, Gato Tour & Travel, Sajian Ambang, Canai 15 Café, Rinars dan Apple Creative Work Asia.

Produser eksekutif dan Pengarah Urusan ERE, Edd Razhe atau lebih dikenali dengan Abang Edd berkata, pihaknya sangat bersyukur dan menghargai sokongan dari barisan penaja yang membantu merealisasikan konsert terbitan beliau.

Menurutnya, buat masa ini, persiapan konsert hampir dua jam itu sedang rancak dilaksanakan membabitkan 3 artis terlibat. Ia mendapat pengawasan rapi oleh Pengarah Muzik, Datuk Nasser Abu Kassim serta Pengarah Vokal, Datuk Syafinaz Selamat sejak dua bulan lalu.

“Pihak kami akan cuba menyajikan persembahan terbaik kepada semua peminat yang membeli tiket. Ini kali pertama Misha, Sarah dan Noryn bergabung di pentas IB dalam sebuah konsert khas. Saya juga terharu kerana mendapat bantuan daripada mereka yang berpengalaman terutama Pengarah Muzik, Dato Nasser Abu Kassim; Pengarah Konsert, Jennifer Thompson dan barisan pemuzik yang berpengalaman seperti Steve Thornton, Zahid, Condrado Coni, John Thomas, Azmi dan lain lain serta Pengarah Vokal, Datuk Syafinaz Selamat, Koreografer Alam Wakaka, Penggubah Muzik, Sze Wan,” kata Abg Edd.

Beliau berkata, sebanyak 33 lagu solo serta secara medley akan diperdengarkan dalam beberapa segmen dan kesemua lagu digubah semula oleh Sze Wan dan Datuk Nasser sendiri.

 

“Antara lagu popular yang akan disampaikan ialah Lady Marmalade, Listen, Bang Bang, Mulanya Di Sini, Khayalan dan rangkaian lagu hits masing-masing seperti Sampai Bila, Semakin dan Fantasi O Realiti.

“Apa yang istimewa, konsert ini juga menampilkan satu segmen khas tribute kepada Kumpulan artis wanita popular Malaysia, Feminin dan juga para penyanyi wanita terkenal Malaysia yang lain seperti Fairuz Hussein, Famiza, Freedom, Anita Sarawak dan Black Dog Bone.

Konsert tersebut akan diserikan dengan barisan lapan penyanyi latar yang disulami koreografi yang jarang diketengahkan dalam konsert tempatan lain,” kata Abang Edd.

Selain itu, Konsert Soul Sisters bakal menggabungkan kepakaran teknikal, penataan cahaya, visual dan bunyi yang bertaraf antarabangsa.

Pada majlis ini juga penganjur turut menyampaikan tiket kepada pemenang terawal #soulsisterconcertchallenge yang memuat naik gambar mereka di Instagram, baru-baru ini.

Sementara itu, Misha mengakui dia sangat teruja untuk berkongsi pentas dengan dua lagi artis pada Konsert Soul Sisters yang julung kali dianjurkan itu. 

Bagi Noryn pula, impiannya menjadi nyata kerana dapat beraksi dalam konsert besar sementara Sarah pula tidak sabar mendendangkan lagu kegemarannya untuk hiburan peminat.

Tiket-tiket konsert masih dijual pada harga RM755 (Meet & Greet), RM555 (Diamond), RM355 (Platinum), RM255 (Gold) dan RM155 (Silver). Ia boleh ditempah menerusi laman web www.airasiaredtix.com

Sebarang pertanyaan mengenai tiket juga boleh dibuat melalui e-mel support@airasiaredtix.com

Ruang komen
URTV
News Reporter
error: Content is protected !!