Kisah putus cinta sahabat jadi inspirasi lagu terbaharu KIRSTIE

Kirstie Maximus mengakui malu untuk melangkah ke industri muzik tempatan, jadi dia memulakan kerjaya sebagai seorang deejay dan akhirnya mempunyai keyakinan untuk tampil ke depan sebagai seorang penyanyi bersama lagu-lagu ciptaan sendiri.

Malu-malu namun berisi, Kirstie pernah dijemput untuk melakukan persembahan untuk acara berprestij Miss Universe Beijing di China. Tidak menyangka diberikan peluang sebegitu, Kirstie amat berbangga dan memberikan persembahan di acara yang telah mengubah perjalanan hidupnya sebagai seorang penyanyi.

“Memang seperti dalam mimpi sebab peluang seperti ini bukanlah sesuatu yang mudah untuk diperolehi oleh mana-mana penyanyi tempatan tetapi mungkin rezeki saya, saya terima dengan hati yang terbuka dan berusaha keras berikan persembahan yang terbaik walaupun saya gugup sebelum naik ke pentas,” cerita Kirstie dengan gembiranya.

Alleycats, Reshmonu dan Sasi The Don adalah nama-nama penyanyi berbangsa India di Malaysia yang berjaya menempa nama dalam industri muzik tempatan. Kini tiba giliran KIrstie Maximus, seorang gadis berusia 29 tahun yang memulakan langkahnya dengan lagu-lagu berkonsep urban dan berbahasa Inggeris.

Pernah meriliskan lagu Rockabye X dan Alright X, Kirstie akur dengan permintaan peminat muzik tempatan yang gemarkan lagu berentak balada.

Lagu Kembali X, percubaan yang agak berani namun berbaloi kerana sambutan dan pujian yang agak menggalakkan daripada peminat dan sahabat-sahabat Kirstie yang berbangsa Melayu.

“Lagu duet saya bersama Evelyn ini mengisahkan tentang penantian yang tidak pasti, tetapi masih mengharapkan kekasih untuk kembali. Saya tugaskan penulis lirik saya, Lynnzay Affandy untuk tulis lirik ini berdasarkan kisah sebenar sahabat karib saya. She was so broken hearted. Emosi habis dan hampir sakit jiwa.

“Jadi, saya minta izin dia untuk saya ceritakan kisah dia dalam lagu ini. Melodi vokal saya cipta sepenuhnya, manakala susunan
muzik dan produser adalah Kameron Pearson. Mereka ini adalah kawan-kawan saya dan saya amat bersyukur di atas sokongan mereka untuk percubaan ini. Saya ingin buktikan saya anak Malaysia yang menghormati dan mengagumi bahasa Malaysia,” Kirstie menjelaskan tentang lagu Kembali X.

Meminati Siti Nurhaliza, Anuar Zain dan Misha Omar, alunan melodi lagu ini dan nyanyian Kirstie bersama Evelyn diinspirasikan daripada ketiga-tiga penyanyi tersohor ini. Sedang dalam proses menghasilkan single baharu, Kirstie berharap peminat muzik tempatan dapat menerima kehadirannya seperti mana Beijing mengiktiraf dirinya.

URTV
News Reporter
error: Content is protected !!