Kisah kehidupan ALYAH dalam MELURUH

Penyanyi popular, Datin Alyah kini muncul dengan single berjudul Meluruh sebagai taruhan terbaharu untuk tahun 2019

Menurut Alyah, dia mendapat ilham melodi untuk lagu Meluruh ketika sedang memandu dalam hujan lebat tahun lalu.

“Sedang memandu tiba-tiba saya dapat ilham melodi lagu ini dan beberapa barisan lirik. Tanpa membuang masa, saya terus menghubungi penulis lirik, Slen dan meminta dia menyiapkan keseluruhan lirik terbabit mengikut melodi yang timbul dalam fikiran saya.

“Dalam masa yang singkat Slen telah berjaya menghasilkan senikata lagu itu berdasarkan pengalaman hidup saya, dirinya serta orang-orang yang pernah Slen kenali.

“Lagu Meluruh mengisahkan tentang soal hati seorang insan yang tidak menerima layanan seadilnya daripada orang-orang yang disayanginya. Sekalipun apa yang dilaluinya begitu berat dan pedih namun itu tidak akan menghancurkan dirinya dan dia enggan membiarkan dirinya kecundang dan meluruh,” kata penyanyi yang popular dengan lagu Tak Mungkin Kerna Sayang, Kisah Hati, Sesal Separuh Nyawa dan Jutaan Purnama ini.

Tambah Alyah, selain Slen lagu Meluruh turut mendapat khidmat Helen Yap selaku komposer.

“Sentuhan emas Helen telah melengkapkan lagi lagu Meluruh menjadi sebuah lagu yang lengkap dan pasti akan meninggalkan impak yang besar buat pendengar,” cerita Alyah.

Meluruh yang diterbitkan oleh Warner Music Malaysia ini boleh didapati di kesemua pelantar digital seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBox, Deezer dan juga iTunes bermula 19 April 2019.

Ruang komen
Tajul Ariffin
News Reporter
error: Content is protected !!