Keserasian kami masih ada – Adira Suhaimi

Penyanyi Adira Suhaimi pernah mencetus fenomena menerusi lagu duet, Ombak Rindu bersama Hafiz Suip pada tahun 2011.

Selepas kejayaan itu, Adira dan Hafiz sekali lagi bergabung sebagai pasangan duet dalam lagu Untuk Cinta pada tahun 2015.

Kini mereka kembali disatukan buat kali ketiga menerusi lagu Takdir Tercipta ciptaan Ikhwan Fatanna dan Ayden Ali yang diangkat sebagai lagu tema drama bersiri Lelakimu Yang Dulu yang sedang popular di TV3.

Adira atau nama sebenar Siti Adira Suhaimi, 28 tahun, berkata dia gembira dapat kembali bersatu dengan Hafiz dalam lagu.

“Semestinya saya rasa seronok dapat kembali berduet dengan Hafiz. Sudah empat tahun kami tidak disatukan dalam lagu.

“Keserasian kami masih ada dan sokongan peminat masih kuat. Mereka pun menantikan kami kembali berduet.

“Saya harap peminat akan suka dan terus memberi sokongan agar lagu terbaru ini diingati seperti kali pertama kami berduet menerusi lagu Ombak Rindu yang mencetuskan fenomena suatu masa dahulu,” kata Adira.

Ditanya jika diberi pilihan untuk berduet dengan penyanyi lain, ibu kepada tiga cahaya mata ini memberitahu dia hanya selesa dan serasi dengan Hafiz Suip.

“Kalau boleh saya tak nak tukar pasangan duet sebab saya dan Hafiz sudah mempunyai keserasian. Peminat pun suka gabungan kami berdua. Saya berharap kerjasama sebagai pasangan duet akan berterusan dimasa hadapan.

“Jika berduet dengan penyanyi lain pun saya ingin bekerjasama bersama penyanyi perempuan pula. Antara penyanyi yang saya teringin bekerjasama adalah Misha Omar, Liza Hanim dan Dayang Nurfaizah,” cerita Adira.

Ruang komen
Tajul Ariffin
News Reporter