‘Kembara Rasa’ Baki Zainal Di Thailand, Laos, Vietnam dan China Dalam “The Taste of Memory” di TV2

Memilih negara dikenali sebagai Negara Sejuta Gajah iaitu Laos, Vietnam, China juga Thailand sebagai destinasi menikmati makanan tempatan mereka yang Halal pastinya cabaran besar berbanding negara Asia lain yang banyak dikongsikan sebelum ini.

Sesuatu yang istimewa dan mengujakan tentunya perjalanan hos Baki Zainal dalam program travelog terbaharu bertajuk “The Taste of Memory” disiarkan Radio Televiesyen Malaysia (RTM) mulai 16 Januari ini, setiap Rabu, pukul 11.30 pagi di TV2.

Pengembaraan 45 hari untuk mencari ‘rasa’ orang tempatan di negara dilawati ini pastinya menggalakkan penonton pergi melancong dan merasai budaya serta makanan orang tempatan selain berkongsi pandangan serta pengetahuan yang luas.

Keseluruhan 13 episod program berbahasa Mandarin ini memaparkan kelainan kerana sepanjang pengembaraan ke tempat-tempat dalam Malaysia hingga luar negara ini, hos cuba mengimbas pelbagai kenangan semasa beliau menikmati sesuatu jenis makanan tempatan di negara dilawati.

Baki Zainal memulakan kembara makanan di Melaka untuk mencari rasa makanan yang unik dan tersendiri. Hidangan pertama dipilih oleh hos ialah Ghee Thosai yang merangsangkan kenangan manis serta perasaan rindu terhadap arwah bapanya. Kunjungannya ke Jonker Street menemui pengusaha wanita menjual nasi kunyit dan mihun goreng mengembalikan ingatannya tentang susah-payah ibu bapanya sebagai penjaja pada masa dulu untuk menyara kehidupan sekeluarganya sama seperti pengusaha ini. Baki turut menikmati bubur “scallop” kering yang rasanya memberi semangat dan tenaga positif kepada beliau.

Memulakan pengembaraan di luar negara dengan mengunjungi Pulau Phuket di Thailand Selatan yang terkenal sebagai batu permata bagi Pulau Andaman kerana lokasi geografinya. Pulau Phuket terkenal dengan makanan laut kerana orang Melayu di Thailand biasanya ialah nelayan. Temubual bersama nelayan Ngeem Dumrongkaset yang pandai bertutur dalam Bahasa Melayu. Di sini Baki menikmati hidangan nasi goreng nanas, tomyam makanan laut, “seaweed”, sotong goreng dan salad betik kering.

Destinasi seterusnya iaitu Ayutthaya, bandar kedua di Thailand. Beliau dihidangkan dengan menu BBQ udang dengan sos yang istimewa. Kemudiannya di Bangkok yang terkenal di seluruh dunia dengan makanan yang dijual di tepi jalan dia mencuba menu kuey teow goring, bubur manis dengan mee (gabungan gaya Negara China dan gaya Thailand), pencuci mulut “Khanom Bueang” dan kelapa ais krim. Akhirnya, hos juga memperkenalkan sukan popular di sini iaitu “Thai Boxing” dalam bahasa Thai disebut “Muay Thai Gym”.

Menaiki bas beliau ke Chiang Rai di Thailand Utara yang penuh dengan unsur-unsur kesenian. Banyak makanan di gerai-gerai pasar malam yang diperkenalkan. Baki menyewa sebuah kereta dan menuju ke rumah kawannya, Encik Phongphan namun tersesat. Di pertengahan jalan dia singgah di Restoran Sui Islam Mae Sai. Akhirnya, dia tiba di ladang organik Encik Phongphan dan dihidangkan makanan organik.

Jelajahan Baki tiba di Laos dan mengunjungi Restoran Hasan Indian di Pak Beng, Laos. Gambaran suasana mamak India di Malaysia dapat dirasai di situ. Perjalanan selama 9 jam dari Pak Beng ke Luang Prabang iaitu sebuah tempat yang diiktiraf sebagai “UNESCO World Heritage Centre”. Penduduk di Laos suka makan nasi pulut berbanding nasi putih. Hos tinggal di “Wat That Homestay” yang diusahakan warga Malaysia, Norsozandi Mamat dengan isterinya, Oulaivanh Philaphouangphet, warga Laos.

Aktiviti diteruskan dengan mengunjungi Air Terjun Kuang Si di dalam hutan simpan. Baki kemudiannya ke tempat di mana kerajaan Laos telah mengisytiharkan hari tertentu pada setiap bulan sebagai cuti umum supaya rakyat Laos boleh menyumbang makanan kepada biarawan di sana. Menu dicuba bubur nasi pulut dan kopi hitam bercampur dengan susu cecair. Kemudiannya Baki ke Vietiane (bandar utama di Laos) berkenalan dengan penjaja yang menjual 20 jenis kuih-muih. Salah satu kuih dicuba sama dengan kuih “Seri Muka” di Malaysia. Baki teruja berpeluang ke restoran yang pernah dikunjungi Barack Hussein Obama. Pada masa sama dapat menikmati sajian yang disediakan dalam suasana seperti rumah sendiri.

Semakin menarik kembara Baki melawat ke bandar Vietnam Selatan iaitu Ho Chi Minh. Hidangan Vietnam terkenal dengan “Pho Bo” dan Vietnam Kopi. Selepas minum kopi yang sedap, Baki meneruskan perjalanannya ke ‘Cho Ben Than Market’. Nasi udang campur dengan daging ayam dapat dinikmati di sini. Seterusnya, pencuci mulut seperti kelapa ais krim dan kopi ais krim. Istimewanya ada pasar malam terkenal iaitu “Malaysia Street” yang menjual makanan Halal dan baju kurung dijual dengan harga yang murah.

Penjelajahan hos ke Hanoi di Vietnam Utara menikmati “Egg Coffee” (campuran telur dengan kopi) yang perlu dicuba. Hidangan lain Banh Trang Tro (mee, daging lembu, sotong dan daun kesum), Chaca (masakan ikan, sayur-sayuran, mihun dan kacang) juga BBQ daging itik.

Seterusnya Baki ke Sa Pa, kawasan sejuk seperti Cameron Highlands (Tanah Rata) di Malaysia tetapi cuaca Sa Pa lebih sejuk. Cuaca yang sejuk dihayati Baki dengan menikmati hidangan “Salmon Steamboat”. Selain itu, orang tempatan suka makan daging kuda di Restoran Thang Co A Quynh di mana daging kuda dapat memanaskan badan mereka pada cuaca yang sejuk ini.

Peluang bertemu Wang Ji Jian, rakyat Malaysia bermastautin di Dali, China digunakan Baki menemubual beliau yang menjalani kehidupan di situ selama 10 tahun. Kawasan rumahnya yang luas dipenuhi pelbagai jenis sayur-sayuran organik dan buah-buahan. Baki turut dibawa ke Pasar Tani untuk menikmati makanan yang terkenal, goreng kulit kayu (rasa seperti tauhu), bunga ros goreng telur dan sup rumpai laut. Orang tempatan juga gemar minum teh bunga ros.

Episod terakhir ini dipaparkan di Shangrila, Negara China. Baki ke sebuah restoran Halal terkenal dengan “Daging Lembu Steamboat”, “Ghee Teh” dan roti. Selepas makan, Baki menuju ke “Meili Snow Mountain” yang mempunyai pemandangan yang cantik dengan langit yang biru dan awan yang putih seperti “Himalaya Mountain” di India.

Ruang komen

Please enter banners and links.

URTV
News Reporter
error: Content is protected !!